::: sinopsis :::

::: sinopsis :::
.

Monday, November 29, 2010

PAHLAWAN ADAMUS DIULANG-CETAK!


PTS sudah menerbitkan 20 judul novel fantasi. Namun sangat sedikit yang diulangcetak.
Novel 'Pahlawan Adamus' adalah salah sebuah yang diulangcetak. Feedback dari pembaca mengatakan mereka puas hati membaca novel tebal ini disebabkan daya imaginasi pengarangnya yang tinggi.
Dengan menganalisis novel-novel fantasi yang tersadai di dalam gudang PTS, didapati ciri-ciri novel fantasi yang tidak laku dalam pasaran adalah seperti di bawah:
(i) Nipis.
Ukuran 'nipis' adalah kurang daripada 350 halaman. Cerita yang baik, gaya bahasa yang indah, dan imaginasi yang tinggi sekalipun, apabila bukunya nipis, orang tidak teringin mengambilnya dari rak buku di dalam kedai buku.
Komplen yang popular diterima dari pembeli buku adalah 'tidak puas dibaca'.
(ii) Ceritanya tidak mempunyai kaitan dengan unsur-unsur sejarah alam Melayu ataupun Nusantara, yakni tidak mempunyai unsur historisiti.
(iii) Judul yang pelik.
Maksud judul yang 'pelik' adalah perkataan judul yang bukan perkataan Melayu, dan juga bukan perkataan yang ada dalam kamus mana-mana bahasa, yakni perkataan yang direka-reka sehingga pembaca tidak dapat mengagak apa maknanya. Dari sudut pandang teori interteks, judul itu tiada mempunyai unsur interteks sama sekali.
(iv) Judulnya perkataan Melayu yang 'pelik'.
Judulnya menggunakan perkataan Melayu tetapi perkataan itu tidak biasa digunakan dalam kehidupan sehari-harian, sehingga pembaca Melayu pun tidak tahu apa makna perkataan itu.
(v) Nama-nama watak yang 'pelik'.
Nama yang 'pelik' adalah nama-nama watak yang tidak dapat dikaitkan dengan perkataan Melayu, oleh itu tidak dapat diketahui maknanya ataupun kaumnya. Nama yang pelik itu direka-reka dengan tidak menggunakan teori makna, oleh itu pembaca tidak dapat menggambarkan ciri-ciri personaliti watak-watak itu.
(vi) Nama tempat yang 'pelik', yang tiada kaitan dengan perkataan Melayu dan alam Melayu-Nusantara.
Novel fantasi yang laku dalam pasaran adalah novel-novel yang kuat unsur-unsur interteks sejarahnya. Ini bermakna penulis fiksyen fantasi mestilah mempunyai pengetahuan yang luas tentang sejarah.

RUJUKAN : http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_ciri-ciri_novel_fantasi_yang_tidak_laku_dalam_pas/

ULASAN PEMBACA

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Kulit Buku : Amat menarik!
jalan cerita : recam dan amat adventure! majis dan mengujakan!
Bahasa : mudah difahamai dan terdapat bahasa asing di dalam… imaginasi sungguh tinggi!
tahniah!
&mdash John Haris • 11 Nov 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
kulit buku “Pahlawan Adamus” sangat menarik perhatian . Cerita tidak memeningkan tapi nama watak, tempat, mantera sihir tu pening sikit. Bahasa terlalu baku. Cuba guna sedikit sinkof dalam dialog. Imiginasi pengarang sangat tinggi hingga mempengaruhi pembaca.
&mdash myrul • 17 Oct 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Maaf kepada yang mendapat buku yang tidak ada muka surat(kosong).. sila dapatkan yang ada muka suratnya dan laporkan kepada pihak PTS tentang hal tersebut. Terima kasih buat semua yang mengikuti kisah Adamus di alam Fiara ini… sila lawati blog Adamus…
http://pahlawanadamus.blogspot.com/
terima kasih…
&mdash SK • 18 Aug 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
saya berasa seronok apabila membaca buku tersebut tapi keseronokan hilang apabila ada beberapa muka suratnya hilang itu shj yang saya ingin beritahu
&mdash nur adila bt amran • 18 Jul 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
penuh dgn pengembaraan
Ulasan kaver buku
menarik…
Ulasan bahasa
tidak menggunakan bahasa rojak memerap nilai murni…
&mdash nurul afifah • 08 Jun 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
tidak memeningkan boleh difahami. memang best
Ulasan kaver buku
menarih. orang selalu kate jangan menilai dari luaran, tapi kalau dah cantik, mesti tertarik
Ulasan bahasa
bersahaja. tpi klu berpuitis sikit memang lengkap
&mdash adibah • 12 May 2010


PENULIS S.K : Alhamdulillah... semoga pembaca terus terhibur... Insyallah Pahlawan Adamus part 2 dalam proses lagi... nantikan episod seterusnya!

Monday, November 15, 2010

ADAMUS 2- BAB 9

“Kau… Samushin air?” kata Adamus.
Tetapi lelaki botak itu tidak menjawab walaupun wajahnya bereaksi kehairanan.
“Dia tidak faham kata-kata kau, Adamus.” Ujar Shiris, masih tenang. Mungkin dia manganggap Samushin Air itu sama aliran dengannya dan tidak membahayakan mereka, getus hati Adamus.
Konha Sera?(Siapa kau?)” tutur Shiris. “Sera Samushin pir?(Kau Samushin Air?)”
Mata Hijau lelaki itu merenung Shiris dengan reaksi kehairan. “Konha Sera?(Siapa kau?)”
Sero Samushin pir, Shiris! (Aku Samushin Air, Shiris!)” Jawab Shiris sambil melangkah tenang dan menapak di permukaan air dengan tenang, menghampiri lelaki botak itu secara pelahan-lahan. “Aima jinris hair soras, naag lento! (Kami datang dengan aman, jangan takut!)”
Lelaki botak kerut kening. Tetapi menarik nafas lega. Mendadak hawa sejuk yang membara tadi sirna dan suasana kembali normal. Sejuk seperti tadi, Shiris melemparkan senyumannya.
Paraa nasra!(Terima kasih!)” kata Shiris sambil menghentikan langkah kira-kira sehasta dari batang tubuh lelaki botak itu.
Lelaki botak itu, dingin dan wajahnya masih menggambarkan kecurigaan. Tanpa berlengah Shiris mengeluarkan medallion yang diberi Tok Kiril dan menunjukkannya kepada lelaki itu. Mata hijau lelaki itu berubah, terkejut dengan apa yang dilihatnya.
“Kau adalah orang Kultus Persaudaraan Nekulus?” tuturnya lalu menyambung dengan kata-kata yang tidak difahami Adamus. “Sugsi Naare Hikras, Hikras Naare Sugsi!”“Nusuari!(Selamat Sejahtera!)” ucap Shiris, masih dengan senyumannya. Medalion itu disimpan semula dalam saku baju.
“Nusuari!” Jawab lelaki botak itu. “Emraaku Sero Padawa Naldo, miik Nekulus!(Nama aku Padawa Naldo, Puak Nekulus!)”
Pada masa yang sama, lelaki botak itu juga menunjukkan medallion yang serupa dari balik pakaiannya dan kemduian memasukkannya semula.
“Sero Shiris… Aiwo Adamus! (Aku Shiris… dia Adamus!)” Ujar Shiris sambil menyentuh dadanya dengan tapak kanan dan kemudian mengarahkan tangannya itu ke arah Adamus.
Adamus mengangguk dan senyum. “Nusuari!”
“Nusuari!” lelaki botak yang menamakan dirinya Padawa Naldo itu senyum dan mempamerkan giginya yang tersusun rapi. Sama seperti Usiari yang lain. Lelaki ini bertelinga runcing dan ada anting-anting kecil di telinga kanannya. “Sero padawa Naldo!”
“Sero, Adamus.” Kata Adamus sambil mengusap dadanya dengan tangan kanan, sama seperti apa yang Shiris lakukan sebentar tadi.
“Adamus?” Padawa Naldo, kembali kerut kening apabila mendengar nama itu. “Sera ek satrasis summa iit?(Kaukah pahlawan terakhir itu?)”
Maare niik sera…(Maafkan aku…)” tiba-tiba Shiris mencelah. “Sero Iadna Ukraku Uhab Adamus?(Kau mahir bertutur bahasa Adamus?)”
Padawa Naldo mengangguk dan wajahnya tiba-tiba menjadi lebih riang. “Iadna! Iadna!”“Kau Adamus?” katanya setelah diam sejurus. “Betulkah kau adalah pahlawan terakhir itu?”
Adamus tarik nafas. Mengaku dia Adamus adalah sukar baginya. Memandangkan keadaannya sekarang yang memang tidak serupa Adamus. Tanpa Pedang Unikorn dan peralatan lainnya, dia bukanlah Adamus, pahlawan terakhir itu. Dia adalah Faizal, orang dari dimensi Bumi. Ingin sahaja dijawab seperti itu. Tetapi lidahnya kelu. Tidak mahu menghampakan hati Shiris yang menaruh harapan yang amat tinggi itu.
“Ya, itulah yang orang Usiari lain katakan tentang aku.” Kata Adamus pelahan.
“Jadi betullah ramalan itu!” Padawa Naldo bersuara sedikit tinggi berbanding tadi. “Benarlah kata-kata pendeta!”

PAHLAWAN ADAMUS DIULANG CETAK!


JUDUL ULANG CETAK

1. Semanis Tart Ceri 3000 unit
2. The Leader In Me - ed. Bahasa Melayu 2000 unit (sudah masuk)
3. Usahawan Cilik: Garaj Aiman 2000 unit (sudah masuk)
4. Seperti Keju & Coklat 3000 unit (sudah masuk)
5. Pahlawan Adamus 2000 unit (sudah masuk)

PENULIS : Nampaknya, pembaca terhibur dan sambutan menggalakan... insyallah ADAMUS 2... dalam proses...insyallah 2011 siap la...

Friday, October 22, 2010

PAHLAWAN ADAMUS - PART 3


Faizal tersentak dari tidur.
Peluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Mimpi itu datang lagi! Mimpi yang sama seperti hari-hari lalu. Jam digital di atas mejanya memaparkan angka dua pagi. Dia mengeluh. Gambaran ataupun mimpi itu berulang lagi pada waktu yang sama. Mimpi yang membuatnya berpeluh-peluh dan rasa takut yang didesak oleh mimpi yang sangat mengujanya dan mendebarkan.
Tiba-tiba pendengarannya menangkap sesuatu. Satu bunyi yang membuat telinga sangat sakit seakan-akan ditekan satu tenaga yang kuat. Tekanan itu semakin lama semakin kuat dan membuatnya mengerutkan dahi. Dia memejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Adamus….”
Sekali lagi nama itu disebut bersama desiran angin sejuk yang tiba-tiba menjalar ke dalam bilik tidur yang suram itu. Seluruh tubuhnya meremang, seram. Denyutan jantungnya melaju. Dia meliarkan mata dan merenung ke serata arah, cuba mencari kelibat ataupun mana-mana sumber yang memungkinkan suara itu bergema di dalam ruang biliknya.
Kesuraman bilik menyambut pandangannya sesaat. Kemudian tiba-tiba satu lembaga muncul dari kegelapan. Dia tersentak!
Di hujung biliknya ada satu lembaga hitam yang terbentuk dari kesuraman bilik. Hawa sejuk menyengat sumsum tulangnya, sehinggakan wap udara menyembur deras dari hidungnya tatkala dia menghembus nafas. Dia merenung lembaga itu dengan dada yang berdegup kencang.
“Adamus!”
“Hah?”
Sekali lagi dia tersentak. Pantas bangun cuba melarikan diri. Tubuhnya jatuh di atas permukaan lantai marmar yang sejuk. Dia mengaduh keras dan cemas lalu bangkit kembali dengan pantas sambil merenung ke serata arah. Lembaga hitam itu hilang!
“Ah! Mimpi lagi rupanya…” Dengus nafasnya kedengaran lega.
Jam digital direnung sekilas. Jam 2 pagi!
Dia menggeleng kepala. Waktu itu berulang lagi. Waktu yang sama tatkala dia diserang mimpi itu. Gila! Sudah dua bulan dia mengalami mimpi itu. Hampir seluruh hidupnya kini semakin berubah dari sehari ke sehari.
Kerja-kerja di perpustakaan pun turut berubah. Dia tidak lagi dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kerja-kerjanya. Jika dia sempat melakukannya, dia akan buat. Tetapi dengan fikiran yang bercelaru dengan masalah peribadi dan mimpi-mimpi yang membuatnya tidak senang tidur, ia tidak memberinya peluang bagi melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
“Mimpi dalam mimpi… hum…”


“Faizal!”
Faizal menoleh. Seketika dia terkedu. Puan Roslina berdiri di sebelahnya dengan muka yang merah padam menahan marah.
“Ya, puan?” Dia bersuara agak gementar. Sememangnya dia takut sedikit dengan ketuanya itu.
“Kamu sudah susun buku?”
“Su… su… sudah, puan,” jawabnya teragak-agak.
“Sudah?”
Faizal angguk. “Ya, puan. Saya dah susun buku tadi.”
“Jangan tipu saya. Saya baru saja naik aras lima. Buku berselerak. Troli buku melintang di lorong rak. Itu susun kamu kata? Sudah… saya nak kamu susun sekarang juga. Petang nanti saya periksa. Cepat pergi sekarang!” arah Puan Roslina, geram.
Faizal bangun. Malas dia mahu melayan kerenah majikannya itu. Tetingkap myspace ditutup dan tanpa berkata apa-apa dia beredar ke tangga dan terus menaikinya. Tiba di rak yang di bawah seliaannya itu, dia terkejut dengan apa yang dilihat. Seingatnya dia baru sahaja menyusun buku-buku itu. Namun, keadaannya adalah sebaliknya. Malah lebih teruk lagi. Rasa marah mendongkol dalam hatinya.
‘Siapa pula yang selerakkan buku ni?’ getus hatinya. ‘Tentu ini kerja Zulhani dan Farid!’ Budak dua orang itu memang tidak boleh lihat dia duduk senang. Ada saja kerja-kerjanya yang dirosakkan dua orang sahabat itu.
Dia mengeluh. Rasa marah dan kecewanya berbaur menjadi satu. Dia memungut buku yang berselerak di lantai itu satu per satu. Buku-buku di atas troli juga kelihatan tidak teratur. Ada buku yang dibaringkan, ada yang terbalik. Ah! Geram hatinya melihat keadaan itu.
Dua tahun lepas dia menjadi pembantu di perpustakaan ini. Sejak tiga minggu selepas itulah dia selalu menemui buku-buku di bahagiannya berselerak tidak mengira masa. Kadang-kadang waktu pagi ketika masa kerja bermula dia mula menyusun buku di rak seliaannya. Dia mendapati buku-buku itu berselerak teruk. Pernah sekali dia mengintai dan cuba memerangkap pelaku yang bertanggungjawab.
Namun hampa.
Satu demi satu buku-buku itu diperiksanya. Mujurlah tiada buku dari aras lain ataupun rak lain yang tercampur. Kalau tidak susah juga hendak mengasingkan buku-bukunya dengan buku-buku dari bahagian lain.
Ketika menyusun buku-buku itu, dia terlihat sebuah buku yang agak ganjil dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini, terselit di antara buku-buku yang bertimbun itu. Buku itu dicapai dan dibeleknya. Biasanya buku yang dia tahu dan sedia maklum mempunyai kulit tebal dan bukan jenis lembut seperti itu. Dia merasa dengan tangannya, kulit buku itu bukanlah seperti kebiasaan kulit buku yang pernah dia lihat. Terasa seperti kulit dan agak keras tetapi lembut apabila lama disentuh dan berwarna kekelabuan. Ada petak-petak kecil yang memuatkan simbol-simbol ganjil di sekeliling sebuah simbol bulat. Di tengah-tengah bulatan itu ada suatu bentuk berbucu tiga. Ada tiga bulatan kecil yang mengitari bulatan besar di tengah yang terpapar padanya simbol ganjil berwarna merah. Simbol yang membuatnya diserang seribu perasaan yang sukar ditafsirkan. Bulu romanya terasa meremang tatkala dia mengusap-usap simbol ganjil itu.
Dia sudah terlupa tugas-tugasnya. Tumpuannya kini hanya pada buku ganjil itu. Dia menyelak helaian demi helaian dan cuba membacanya, namun huruf-huruf yang tertera pada helaian buku itu bukanlah huruf–huruf biasa. Buku itu penuh dengan huruf dan simbol-simbol yang tidak difahaminya.
Dia diserang seribu persoalan. Mengapa buku itu ada di situ? Buku jenis ini ada di perpustakaan tempat dia bekerja? Siapa pula pemilik buku itu? Bahasa apa yang digunakan? Huruf-huruf dan simbol itu juga sangat menghairankan. Dia cuba membuka buku itu. Helaian demi helaian diselaknya kembali. Dia langsung tidak memahaminya. Semuanya dalam huruf-huruf ganjil dan membentuk perkataan-perkataan asing dan ganjil.
Untuk apa buku itu wujud jika tidak difahami oleh sesiapapun di dunia ini? Dia tahu, kerana dia selalu mengikuti kursus pelbagai bahasa dunia di Pusat Bahasa dan juga mengenali pelbagai jenis huruf bahasa asing di seluruh dunia. Namun, tidak ada yang serupa itu. Semuanya serba ganjil dan baru.
Buku-buku perpustakaan yang bertaburan itu dibiarkan. Minatnya pada buku yang ditemuinya itu lebih penting kini. Dia beredar ke tempat duduk yang disediakan. Dia terus menyelak helaian demi helaian berkali-kali dengan harapan dia akan menemui sesuatu yang difahaminya di antara simbol-simbol dan huruf-huruf itu.
Namun, dia hampa. Tiada satu pun yang difahaminya.
Tiba-tiba dia terselak satu helaian yang mengandungi gambar rajah seperti sebilah pedang. Ditatapnya gambar rajah itu penuh minat. ‘Memang pedang!’ getus hatinya. Ada tulisan dan simbol di bawah gambar rajah itu. Tetapi sedikit pun dia tidak mampu memahaminya. Gambar rajah pedang itu kelihatan unik dan menarik.
Jarinya mengusap-usap gambar rajah itu perlahan-lahan. Dia kagum dengan lukisan pedang itu. Cukup cantik dan unik. Rekaannya halus dengan ciri-ciri corak pedang yang cukup aneh. Hanya mata pedang itu saja yang bentuknya sama seperti pedang-pedang biasa yang dia lihat dalam buku-buku berkenaan pedang. Yang menarik hatinya ialah hulu pedang yang berukir unik dan cantik. Ada sebentuk permata hijau di antara hulu dengan mata pedang. Warna pedang itu seluruhnya hitam pekat kecuali mata pedang yang tetap kelihatan berkilau seperti besi perak, seperti mata pedang yang lain. Ada lima lubang pada bahagian tengah pedang itu. Ada warna hijau yang membentuk lubang itu. Pada bahagian tengah pedang itu ada simbol titik merah dan satu kepala anak panah tanpa batang juga berwarna merah seolah-olah menyokong titik merah bulat itu. Pada hulunya pula ada bukaan yang memuatkan sebiji permata hijau yang bercahaya suram.
Ia kelihatan cukup unik dan mengagumkan. Tidak pernah dia melihat pedang jenis dan bentuk seperti itu sebelum ini.
Tanpa di sedarinya, usap jemarinya menyebabkan timbulnya cahaya halus dan terang muncul dari permata hijau itu. Cahaya yang berselang seli merah dengan hijau seolah-olah mendesis halus. Kedengaran juga angin kuat berhembus pada telinganya. Dia mula diserang rasa takut. Pantas dia menutup buku itu. Serta-merta cahaya itu hilang. Begitu juga dengan angin kuat yang berhembus tadi. Turut lenyap mendadak.
Faizal menarik nafas lega. Dia tidak pasti apa yang berlaku. Namun, minatnya untuk mengetahui fenomena ganjil itu meluap-luap. Hatinya masih berdebar-debar walaupun dia sedikit lega dan rasa selamat.
Matanya melilau ke seluruh ruang perpustakaan. Petang itu tiada seorang pun di aras itu. Cuti semester baru sahaja bermula. Oleh itu, ramai pelajar yang balik kampung halaman masing-masing. Oleh yang demikian, jumlah pelajar yang berkunjung ke situ pada hari itu tidak ramai. Terutamanya di aras lima, tingkat terakhir perpustakaan itu. Pelajar-pelajar lebih suka mengulang kaji pelajaran di tingkat tiga dan empat.


Dia mencapai buku itu lalu menuju ke bilik perbincangan yang terletak tidak jauh dari rak buku di bawah seliaannya. Di situ dia menyelak helaian buku itu satu demi satu, mencari kembali helaian yang mempunyai gambar rajah pedang bercahaya. Setelah berjaya menemui helaian itu, dia menunggu seketika. Kemudian dia mengusap-usap gambar rajah pedang itu dengan jarinya. Dan seperti tadi gambar rajah pedang itu mulai bercahaya hijau diselang seli cahaya putih dan merah terang. Makin lama makin kuat cahaya itu. Jantungnya berdegup keras. Rasa takutnya tiba-tiba memuncak. Dan ketika itu cahaya tersebut semakin kuat memancar daripada gambar rajah pedang tersebut. Satu tarikan tenaga terhasil daripada cahaya terang itu.
Cahaya silau itu mula membutakan penglihatannya.
Dia segera menutup matanya lalu pada masa yang sama juga dia menutup buku itu. Tanpa bertangguh dia mengambil buku itu lalu keluar dari bilik perbincangan dan menuju ke pejabat di aras bawah dengan dada yang penuh debaran. Di situ dia meletakkan buku berkulit hitam dan bersimbol ganjil itu di atas mejanya.
Setelah seketika, dia mencapai kembali buku hitam itu. Ketika itu pandangannya tiba-tiba gelap. Tidak lama kemudian ada cahaya putih menyelinap di sampingnya. Dia tersentak. Bayangan seorang tua muncul di hadapannya. Tubuh lelaki tua itu tinggi dan tegap, ada sebatang tongkat hitam pada tangan kirinya. Pada tongkat itu ada tiga bonggol bulat yang berwarna hijau. Ada permata bulat yang besar pada hujung atas tongkat itu. Permata bulat itu bercahaya hijau dengan bilah-bilah petir kecil di dalamnya, saling bercahaya dan seolah-olah berinteraksi di antara satu sama lain.
Lelaki tua itu memiliki rambut yang panjang memutih sepadan dengan janggut dan misainya yang memanjang ke dada. Jubah putihnya lusuh dan mencecah lantai. Faizal terpegun dengan susuk bayangan itu. Mata lelaki tua itu merenung ke arahnya dengan pandangan yang mesra, tanda ingin berkawan.
Ketika itu dia tersedar. Matanya berkali-kali dikelipkan. Berulang kali dia memastikan dirinya tidak berkhayal ataupun bermimpi. Dia memandang sekeliling. Ternyata dia masih berada di tempat duduknya di dalam pejabat itu. Dan bayangan lelaki tua itu sudah hilang bersama kesedarannya.
Tiba-tiba dia terasa sakit pada belakang tengkuk dan pantas pula jemarinya mengusap bahagian itu. Ada sesuatu yang timbul dan membonjol pada bahagian tersebut. Beberapa saat kemudian rasa sakit itu beransur kurang dan akhirnya hilang sama sekali.

BERSAMBUNG...

Wednesday, October 20, 2010

EPISOD 2


“Adamus… Adamus!”
Suara garau bergema di malam yang hening itu memecah kesedaran, sekali gus membangkitkan rasa seram dan takutnya. Suara itu acap kali bergaung dan didengarinya tanpa dijangka. Tiba-tiba sahaja suara itu seakan menggila dalam setiap ruang yang dilaluinya. Setiap helaian mimpi yang diterokanya, suara itu akan bergema menguasai gegendang telinga dan kesedarannya tanpa rasa belas dan tanpa mengira keadaan.
Ia akan menggila bagaikan gelombang ombak yang menggulung pantai. Menghempas ke gigi pantai dengan gagah. Bagaikan ada magnet di antara mereka. Di mana saja dia berada di situlah suara itu akan bergema memecah tabir-tabir mimpinya.


ALAM FIARA

Api yang marak kemerahan itu tiba-tiba sahaja bersinar terang bagaikan disimbah minyak. Cahaya terang berwarna hijau kemudiannya menggantikan cahaya api merah dan mula bersinar dengan denyaran tenaga yang menyakitkan telinga. Berdengung-dengung menguasai alam yang kian sunyi.
Pendeta Hoslis tersentak. Begitu juga Padawan Naldo. Masing-masing berkerut kening.
“Naldo!” Pendeta Hoslis merenung ke arah Padawa Naldo sekilas. Ada riak teruja pada wajah yang berumur dalam lingkungan 40-an itu. Kening putihnya hampir-hampir bertaut rapat.
“Petanda Arneus!” Bisikan Pendeta Biara Urtughul itu bergema seketika.
Padawa Naldo turut menyebut nama itu dengan berbisik, “Petanda Arneus?”
Pendeta Hoslis mengangguk sambil bergerak tidak sabar ke arah unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu. Padawa Naldo mengekor dengan rasa ingin tahu.
“Dia sudah bertindak!”
“Dia? Dia siapa?”
“Tok Kiril sudah bertindak!”
Mereka berdua berdiri. Riak cemas dan teruja terpapar pada wajah mereka.
Padawa Naldo bersuara pelahan, “Api hijau akan menyala dan menerangi seluruh ruang Meus dan suara keadilan akan bergema di serata alam bersama gempita naga salji dari utara yang membaham kejahatan di selatan. Tanda ini adalah Pahlawan Adamus yang akan bangkit di akhir zaman Nirmala memusnahkan seluruh kejahatan. Bersamanya ada dua belas pahlawan yang terbilang daripada semua puak alam Fiara dan memusnahkan Maharaja Syaitan yang kejam.”
Pendeta Hoslis menoleh ke arah Padawa Naldo dengan wajah yang tenang tetapi menoleh kembali ke arah unggun api yang kini memancarkan warna kehijauan yang terang. Dia faham apa yang dikatakan Padawa Naldo itu. Semua kisah itu tercatat dalam Kitab Burqus. Kitab yang sudah berusia ribuan tahun itu mengungkapkan segala ramalan masa hadapan. Kitab Burqus disalin oleh Pendeta Herselis dari kitab tertua di alam Fiara.
“Benarkah Adamus akan muncul?”
Pendeta Hoslis menoleh ke wajah Padawa Naldo. Pembantu yang menghambakan dirinya dengan Biara Urtughul itu sedikit kurang yakin dengan apa yang berlaku di hadapan mereka. Mungkin kerana tidak menduga sama sekali ramalan dalam kitab Burqus itu adalah benar.
Pendeta Hoslis membuka jubah lusuhnya dan membusungkan dadanya ke arah Padawa Naldo.
“Lihat ini Padawa… lihatlah…”
Padawa Naldo segera mengalihkan pandangannya atas dada Pendeta Hoslis. “Tanda apakah ini?”
“Inilah tanda keramat pengikut Adamus, pahlawan akhir zaman itu.”
Mulut Padawa Naldo melopong seketika. Lambang itu pernah dilihatnya dalam kitab tua sebelum ini. Dia atas dada Pendeta Hoslis terukir satu corak yang timbul dan berwarna hijau tua. Lambang itu memancar cahaya hijau, seolah-olah menyambut pancaran cahaya hijau terang dari unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu.
“Apakah tuan… apakah…”
Pendeta Hoslis mengangguk, mengiakan apa yang berlegar-legar dalam benak Padawa Naldo.
“Tuan pendeta Hoslis adalah Pahlawan Adamus?” Ungkapan itu muncul kemudian dari mulut Padawa Naldo, menyambung suaranya yang tenggelam sebentar tadi.
“Bukan!” Pendeta Hoslis pantas menafikan. “Adamus akan muncul di timur bersama bintang terang Oriomus. Ketika itu Adamus bersama 12 orang pahlawan sakti bergerak bersama dari segenap penjuru menghapuskan kejahatan.”
Padawa Naldo tersentak. Tidak menyangka telahannya tidak mengena. Dia tunduk seketika dan mengalihkan pandangan ke tengah-tengah unggun api yang semakin terang cahayanya.
Beberapa saat kemudian cahaya itu perlahan-lahan malap. Pada masa yang sama angin bertiup kencang dari selatan membuatkan ruang biara itu dicengkam kesejukan dan denyar tenaga yang membingitkan telinga turut sama hilang perlahan-lahan.
“Esok aku akan ke utara!” Tiba-tiba Pendeta Hoslis bersuara dengan nada tinggi dan bersemangat. Padawa Naldo tersentak dengan kata-kata pendeta itu.
“Tuan pendeta ke utara esok?”
Pendeta Hoslis tidak menjawab sebaliknya mengangguk dengan tenang.
“Kalau begitu, aku… Padawa Naldo ingin ikut sekali!” Padawa Naldo pula tiba-tiba bersemangat mahu menyertai gurunya. Anak matanya menancap dengan girang pada wajah Pendeta Hoslis.
Pendeta Hoslis menoleh dan merenung wajah anak muda itu dengan pandangan yang sungguh bermakna. Kemudian dia mengangguk setelah agak lama memikirkan sesuatu. “Mungkin… ya… mungkin inilah takdir kamu, wahai padawa.”
Padawa Naldo mengangguk pantas dengan girang. Tanpa berkata apa-apa lagi dia menoleh dan berlalu keluar meninggalkan Pendeta Hoslis dengan pandangan yang mengandungi harapan dan hati yang penuh semangat teguh dan kukuh demi memenuhi takdirnya.
Esok akan bermulanya perjalanan yang akan menentukan nasib dunia Fiara yang sudah lama dicengkam tenaga kejahatan dari kegelapan itu. Esok juga dia akan tahu kebenaran ayahnya tentang ‘Pahlawan Adamus’ yang ditunggu-tunggu sejak dahulu lagi. Esoknya Pedang Ornalid akan keluar dari sarungnya demi berbakti kepada pahlawan ramalan itu.

Tuesday, October 19, 2010

KOMEN-KOMEN PEMBACA NOVEL PAHLAWAN ADAMUS PART 1

Komen 1
saya berasa seronok apabila membaca buku tersebut tapi keseronokan hilang apabila ada beberapa muka suratnya hilang itu shj yang saya ingin beritahu
nur adila bt amran
18 Jul 2010
12:27 AM

Komen 2
Ulasan isi kandungan/jalan cerita : penuh dgn pengembaraan
Ulasan kaver buku : menarik…
Ulasan bahasa : tidak menggunakan bahasa rojak memerap nilai murni…
nurul afifah
08 Jun 2010
9:03 PM

komen 3
Ulasan isi kandungan/jalan cerita : tidak memeningkan boleh difahami. memang best
Ulasan kaver buku : menarik. orang selalu kate jangan menilai dari luaran, tapi kalau dah cantik, mesti tertarik...
Ulasan bahasa : bersahaja. tpi klu berpuitis sikit memang lengkap
refer : http://pts.com.my/index.php/buku/pahlawan-adamus/
adibah
12 May 2010
4:29 PM

PAHLAWAN ADAMUS - PART 1


SEBUAH CATATAN
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM MANIS BUAT SEMUA. Anda pernah bermimpi untuk melalui alam fantasi anda? Pernah melihat kuda bertanduk? Makhluk-makhluk mistik dan ganjil misalnya? Naga ataupun pari-pari, ataupun juga raksasa? Pernahkah anda melihat semua itu dengan mata kepala anda sendiri dalam alam fantasi impian anda? Pernahkah anda menjadi pahlawan ajaib dan memiliki peralatan ajaib untuk menentang penjahat-penjahat yang berkuasa sihir yang menggerunkan?
Jika tidak, biar saya ceritakan bagaimana kisah yang menarik ini bermula. Bagaimana cerita ini berakhir dan bagaimana ia begitu mengujakan saya. Saya masih ingat ketika itu. Ketika dan saat itu bermula. Semuanya normal kerana saya juga sama seperti anda. Memulakan hidup setiap hari dengan riang dan patuh pada norma serta peraturan hidup yang sedia ada.
Mulanya saya juga seperti anda, hidup sebagai manusia biasa sehingga pada suatu hari berlaku satu peristiwa yang akhirnya mengubah keseluruhan hidup saya. Mungkin anda tidak akan percaya dengan apa yang saya ceritakan ini. Saya memahami ketidakpercayaan anda itu memandangkan anda tidak pernah mengalaminya seperti mana saya alami. Percayalah pengalaman ini amat bernilai dan menarik untuk diketahui dan ditatap bersama-sama. Percayalah anda tidak akan rugi mendengarnya dari mulut saya sendiri.
Dan, percayalah semuanya bermula seperti ini…

PUISI CINTA ADAMUS

Malam itu, Adamus membuka skrol yang diberikan Her-Una siang tadi dan dia terkejut melihat tulisan yang amat cantik dan kemas di dalamnya. Apatah lagi apabila dia menyedari tulisan itu adalah puisi untuknya. Istimewa untuknya.
Menatap tulisan tangan yang cantik dalam huruf-huruf yang tidak asing lagi itu, membuatnya kagum dengan usaha serta semangat Her-Una mempelajari dan memahirkan diri dengan sistem tulisan Bumi dan bahasa Adamus atau bahasa Melayu.
Dia membaca bait demi bait…

Adamus…
Pahlawan hatiku…
Bawalah hatimu kemana saja engkau mahu
Sungguh benar cinta pertama itulah cinta tulus sejati
Tidak terkira pecinta yang datang bertandang
Mengetuk pintu hatiku dan merayuku… namun, kerinduan juga tetap memanduku padamu…
Api kerinduan memarak keinginan agar selalu di sisi mu
Tidakku berpaling kerna celaan nista yang menghujan
tidaklah aku berpaling darimu karena celaan-celaan
Kutinggalkan yang lain sejak kukenal kekasih sejati
seolah-olah bekal perjalanan yang tidak kunjung hilang
sejuta satu bayangan menawan saban malam
jatuh cinta kepada yang ini kemudian kepada yang itu
namun keesokan hari begitu cepat melupakannya
Dahulu hatiku hampa sebelum terisi cinta kepadamu
sibuk mengingat yang lain, terlena dalam senda gurau
Ketika cintamu memanggil hatiku ia pantas membalasnya
Kulihat ia tidak lagi berpindah ke hati yang lain
hatiku risau kecuali bersamamu
sungguh tiada lain di dunia ini yang lebih membuatku gembira
sekiranya seluruh keindahan ada di desa ini
namun akan terasa hampa…Jika engkau lenyap dari pandanganku!
Ingatlah!
Jika engkau hilang dari pandanganku maka… aku selalu melayang mengingatmu
jika impian tidak mengunjungiku… maka hati ini akan mengunjungimu
jiwaku adalah lisan yang menggambarkan tentang cintamu
jiwaku adalah hati dan engkaulah yang menyebarkan isi hati
Daku terbuai oleh keindahanmu
Terbuai-hanyut oleh senyum manismu
kau tuturkan perasaan itu
seakan hanya diriku yang pemiliknya
rasanya aku terbang menembusi Syurga dengan kedua sayapmu
menggapai segala hasrat di jiwa untuk bersama mu…
Tahukah kau, betapa setiaku hanya satu untukmu, wahai kekasih…
Aku cinta pada mu, sepenuh hatiku…


Adamus mengakhiri bacaannya dengan menarik nafas dalam-dalam bersama rasa pilu yang mencengkam di hatinya tatkala ini. “
Oh, Una… aku mesti membalas puisimu! Getus hatinya.
Nampaknya gadis itu, telah memahirkan diri dengan bahasa Adamus. Tepat sangkaanya dan ternyata usaha gadis itu tidak sia-sia. Tambahan pula, dari puisi yang dibacanya telah menggambarkan semua itu. Dia teringat semula saat dia bersua muka dengan gadis jelita itu. Kali pertama mereka berbual dalam keadaan yang asing tetapi ada kemesraan yang bertaut dari pandangan mata mereka berdua saat itu walaupun mereka berdua tidak saling memahami.

Monday, October 18, 2010

SERANGAN MAKHLUK USIARI DI BILIK FAIZAL!

Faizal pantas mencapai batang besi yang terdapat di bawah katilnya lalu berguling ke bawah. Libasan pedang lembaga itu terbabas dan mengenai bantal. Kain bantal koyak dan isinya bertaburan di ruang bilik.
Tanpa berlengah dia mengumpul tenaga lalu menyerang dengan batang besi itu. Libasannya yang amat pantas meluncur dan bukan mudah bagi lembaga itu mengelak. Tepat seperti jangkaannya, libasan sulungnya tepat di kepala lembaga itu. Kedengaran satu raungan kesakitan menguasai gelap malam.
Tidak bertangguh dia menyusulinya dengan satu rodokan hujung besi pada bahagian perut lembaga yang mulai terhuyung-hayang akibat serangannya tadi.
Tembus!
Satu raungan lebih kuat kedengaran. Faizal segera menuju ke pintu bilik dan menekan suis lampu.
Matanya terbelalak melihat apa yang berlaku pada lembaga yang terdampar di atas lantai bilik.

Monday, September 27, 2010

PAHLAWAN ADAMUS PART 2- TARASIS NEKULUS

Nampaknya Pahlawan Adamus akan menlalui pengembaraan yang lebih getir dan menyeksakan setelah kehilangan kuasa saktinya akibat sumpahan sihir Hemluksia oleh Tok Nujumon yang terlepas dari kurungan tongkat Salnaril dengan bantuan Tok Mujin, yang merupakan anak murid satu makhluk kegelapan yang amat jahat dan kuat.
Tanpa Pedang Unikorn dan perisai serta kelengkapan alatan saktinya itu, adakah Adamus mampu mencari 7 Mutiara Tarasis Nekulus, yang dikatakan mampu mengubati kesan sihir Hemluksia? Dan mampukah dia mencari Kristar Alianur yang berguna untuk kekasihnya Her-Una? Mampukah dia menewaskan maharaja Arnanis yang berada di bawah kawalan pengaruh sihir cincin Orsilis yang muncul semula itu?

Siapakah yang mengawal Maharaja Arnanis? Tanpa disedari Adamus, Pakatan gelap segitiga Syaitan menjadi dalang disebalik semua yang berlaku di alam Fiara. Siapakah Padawa Naldo yang membawa Mutiara Tarasis Nekulus? mampukah dia menyelesaikan teka-teki dirinya itu?

Dari kejauhan ada empat makhluk yang menunggu Adamus di penghujung destinasinya. Sekiranya dia tewas di tangan keempat-empat makhluk jahat dari alam gelap ini, Bumi akan jadi sasaran yang bukan gurauan lagi!

ikuti kisahnya.... DALAM NOVEL SAGA ADAMUS AKAN DATANG!

Tuesday, August 17, 2010

KOMEN-KOMEN DARI PEMBACA PAHLAWAN ADAMUS

nur adila bt amran
18 Jul 2010
12:27 AM

Ulasan isi kandungan/jalan cerita : saya berasa seronok apabila membaca buku tersebut tapi keseronokan hilang apabila ada beberapa muka suratnya hilang itu shj yang saya ingin beritahu


nurul afifah
08 Jun 2010
9:03 PM

Ulasan isi kandungan/jalan cerita : penuh dgn pengembaraan
Ulasan kaver buku : menarik…
Ulasan bahasa : tidak menggunakan bahasa rojak memerap nilai murni…

adibah
12 May 2010
4:29 PM

Ulasan isi kandungan/jalan cerita : tidak memeningkan boleh difahami. memang best
Ulasan kaver buku : menarik. orang selalu kate jangan menilai dari luaran, tapi kalau dah cantik, mesti tertarik...
Ulasan bahasa : bersahaja. tpi klu berpuitis sikit memang lengkap
refer : http://pts.com.my/index.php/buku/pahlawan-adamus/



P/S : Terima kasih buat semua yang membaca novel ini. ikuti siri keduanya.. insyallah akan datang dan muncul di pasaran...

Monday, August 9, 2010

PROMOSI NOVEL P. ADAMUS DI UITM




Ada booth sendiri kat Uitm... sempena hari mesra pelanggan ptar... hehe.. bersama-sama dengan Faizul Kamaruddin- siri Adam kecil. heheheh!

Monday, June 21, 2010

ADAMUS 2- MUTIARA TAKDIR AMONRANUS

“Tok,..”
Tok Kiril mengalihkan pandangannya yang menancap di ruang pergunungan Kaisrania pada wajah Adamus. Wajah tua itu menatap penuh prihatin. “Ya, Adamus?”
“Badan aku terasa amat lemah... aku seakaan tidak mampu untuk meneruskan hidup lagi, tok.” Kata Adamus dalam nada yang semakin lemah dan tenggelam. “Mungkin...”
“Shhhh!” Tok Kiril cepat-cepat merenung wajah Adamus dengan pandangan yang gelisah dan bimbang. “Jangan diulangi kata-kata itu. Bersemangatlah Adamus. Kita akan dapat penawar Mutiara takdir itu kelak. Buat sementara ini, hanya eliksir Biruna ini yang akan dapat menahan kesakitan tubuh Adamus. “
Adamus pejam mata. Kesakitan itu membuat seluruh tubuh dan harapannya amat lemah dan hilang semangat untuk terus hidup serta mencari penawar Mutiara Takdir itu. Alangkah menyesalnya dia kembali ke alam Fiara. Kalau dia tidak mengikut kata-kata Tok Kiril, tentu Her-Una selamat di Desa Rauna dan dia sendiri tidak akan menjadi mangsa sihir Tok Mujin yang jahat itu. Ah! Namun, semua itu sudah terlambat.
Kini perjalan ke timur akan diteruskan juga walaupun keadaannya semakin kritikal. Entah sampai bila penawar Eliksir Biruna itu akan mampu mempertahankan kekuatannya. Esok, lusa atau atau sampai Mutiara Takdir itu ditemui. Mungkin tidak akan ditemui. Mengingatkan ini, hatinya semakin gusar dan dadanya berdebar-debar. Maut pasti akan menjemputnya bila-bila masa kalau keadaan itu berterusan.

"Sabar, Adamus... kita pasti akan berjaya mendapatkannya!"

Sunday, June 20, 2010

Hari ini tiada idea nak buat sambungan PA... entahlah.. sejak dsebulan sakit ni... rasanya idea untuk sambungan novel ini macam dah hilang terus bersama kesihatan saya... insyallah..ia akan disambung tak lama lagi... cuma sekarang ni sibuk dengan kerja hakiki di pejabat dan juga sibuk menjaga orang tersayang.. hehehe...

Sunday, June 6, 2010

SUMPAHAN TOK MUJIN

PAHLAWAN ADAMUS AKAN DISUMPAH DENGAN DAHSYATNYA OLEH AHLI SIHIR TOK MUJIN....

Wednesday, March 17, 2010

KOMEN NOVEL INI DARI SAUDARA KAIZAR

Akhirnya pada 11/03, tamat juga Kaizar membaca buku Pahlawan Adamus oleh Silsoh Khairol yang dibeli pada 23/01. Mengapa Kaizar mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan bacaan? Telah diterangkan dalam entri sebelumnya. Sebelum meneruskan bacaan, cukup untuk Kaizar katakan di sini bahawa, "I'm not someone who can easily be impressed". Ulasan terakhir Kaizar adalah seperti berikut, tulus ikhlas lahir dari hati tanpa ada prejudis, pilih kasih atau berat sebelah.
Ada beberapa bab yang menggunakan teknik, cerita dahulu apa yang berlaku dan kemudian terangkan bagaimana ianya boleh berlaku. Mungkin teknik ini adalah cara penulisan tersendiri penulis, tetapi sebenarnya mengelirukan pembaca untuk menentukan antara adegan yang sepatutnya terdahulu dan terkemudian kerana tidak ada pembahagi yang jelas. Mungkin juga teknik ini belum dikuasai sepenuhnya justeru menambahkan kecelaruan pembaca. Lagipun buku Pahlawan Adamus ini lebih kepada jalan cerita berbentuk pengembaraan, maka pengembaraan sepatutnya dibaca dalam satu arah tanpa memerlukan "backtracking" yang membebankan. Klimaks-klimaks yang ditimbulkan oleh penulis juga kebanyakannya di"potong stim" ketika keghairahan membaca baru sahaja naik.
Selain itu, kebanyakan babak dalam buku ini sebenarnya tidak membantu untuk mengukuhkan jalan cerita melainkan sebagai aksesori tambahan dan rempah-ratus yang sekadar ditabur-tabur sebagai penyedap cerita. Adalah lebih cantik sekiranya sesuatu elemen dalam penceritaan itu benar-benar mempunyai kaitan yang kuat dalam membentuk jalan cerita. Atau mungkin sahaja buku Pahlawan Adamus ini hanyalah sebagai buku pengenalan yang menggembar-gemburkan segala apa sahaja benda yang ada di alam Fiara. Ada pelbagai jenis senjata, tumbuh-tumbuhan, haiwan, kaum-kaum, makhluk-makhluk hibrid manusia binatang dan sebagainya di alam Fiara yang hanya timbul dalam satu babak dan kemudiannya hilang tanpa penggunaan yang perlu sepenuhnya. Bagaimana pula dengan Ogron? Watak helang Korla juga sekejap ada, sekejap tiada, seolah-olah hanya dimuatkan apabila penulis teringat tentang kewujudan burung helang itu. Salah satu contoh lagi yang tidak dilihat dalam keseluruhan buku adalah penggunaan bahasa Urkon yang cuma diaplikasikan di bab-bab awal.
Malahan pembacaan dirasakan kurang beremosi, memang ada adegan percintaan, kematian dan sebagainya, tapi tidak sehingga menyentuh perasaan. Ianya hanya diceritakan sebagai satu bentuk peristiwa tanpa jiwa yang dimasukkan untuk memastikan cerita terus berjalan, itu sahaja. Misalnya tentang babak kematian salah satu watak utama dalam cerita (tidak diberikan nama kerana akan menjejaskan spoiler), watak tersebut seolah-olah seperti tiada alternatif "OK, Kitab tu kata aku kena mati, jadi aku bunuh diri dulu, bye", dan sememangnya kebanyakan kematian dalam buku ini dipandang ringan dan sambil lewa. Percintaan watak utama juga sebenarnya tidak jelas. Watak Nur Farihah sekadar disebut sekali dua di awal dan akhir buku tanpa kaitan yang jelas dengan keseluruhan jalan cerita. Pendekata, watak utama agak meng"gedik" dalam perihal percintaan.

(Adamus aka Faizal dan Pedang Unikorn serta Her-Una. "Pedang"... sangat simbolik)Bukan itu sahaja, pada awal cerita pula watak utama agak menjengkelkan. Terlalu berkira-kira, "Akukah Pahlawan Adamus? Tapi nama aku Faizal?" berulang kali hingga terasa rimas sebentar membaca tentang dirinya. Dan di sepanjang cerita pun watak utama seolah-olah kurang menjana idea sendiri untuk memastikan misinya berjaya. Di kebanyakan tempat, dia cuma mengikut telunjuk samada Tok Kiril atau Gimbaro untuk menentukan destinasi seterusnya yang akan dilalui dan perkara yang perlu dilakukan. Ya, memang Adamus masih baru di alam Fiara, tapi itu bukan alasan untuk dia mengambil sikap sambil lewa dengan misinya.
Malahan sewaktu Perang Unikorn yang cuma satu bab itu pun, Adamus kurang berperanan untuk mengatur strategi peperangan. Sepanjang pembacaan, Kaizar sebenarnya berkira-kira samada watak Faizal itu benar-benar pahlawan yang boleh diharap atau hanya berbekalkan nama dan status sebagai keturunan Dewa Meus semata. Seorang hero biasanya mempunyai daya kepimpinan yang jauh lebih tinggi dari yang dimiliki Adamus aka Aksaman aka Arnaman. (Wah! Secara tiba-tiba Kaizar emosi seolah-olah menjadi salah seorang puak Usiari yang membangkang kewujudan Adamus! Dari satu perspektif yang berbeza, ini sebenarnya satu petanda yang bagus buat Silsoh kerana berjaya menjadikan alam Fiara suatu yang diyakini wujud dalam daya imaginasi pembaca)
Dari segi jalan cerita, ada banyak saduran dari pelbagai cerita. Misalnya penyerapan pedang-pedang sakti yang mengingatkan Kaizar dengan drama bersiri Inggeris yang popular suatu masa dahulu iaitu "Highlander". Juga beberapa unsur "Lord of the Rings" karya JRR Tolkien, karya fantasi terhebat Inggeris seperti Cincin Orsilis, kewujudan dua ahli sihir yang berbeza pegangan. Pengaruh "Dragonball" juga dapat dilihat menerusi penggunaan elemen-elemen alam menjadi bebola-bebola serangan. 12 Pahlawan Orakel pula diambil dari cerita "Arthur and the Round Table Warriors". Hibrid manusia binatang seperti kalajengking Akrabbim, ular Pasirud pula mempunyai pengaruh filem "The Scorpion King" lakonan The Rock aka Dwayne Johnson dan filem "The Mummy". Juga file "Pirates of the Caribbean" dapat dilihat dalam penciptaan Kapal Narok dan pemiliknya Tuan Jakrung.
Tidak dinafikan karya Ahmad Patria Abdullah "Saga Artakusiad" menjadi pengaruh yang sangat besar kepada jalan cerita "Pahlawan Adamus", tentang seorang manusia biasa zaman ini yang dibawa masuk ke dalam alam lain dan menjadi penyelamat. Bahagian yang paling menarik Kaizar dalam buku Pahlawan Adamus ini semestinya bab ketika Adamus mengecil dan masuk ke alam pari-pari kenit (Alice in Wonderland?) Nama-nama watak pari-pari bukan sahaja unik malahan mempunyai watak tersendiri dan dunianya pun "believable".
Ada beberapa asal-usul nama yang ketara dan menarik, tidak kurang juga menggeletek hati, misalnya Hajidahk (Khadijah), Hallidba (Abdillah), Hoslis (Silsoh), Lembah Danumia (Danum), Pasirud (Pasir), Payakod (Paya), Zeusena (Zeus), Oriomus (Orion), Saiklops (Cyclops), Likasian (Likas), Upacara Sakros (sacrifice), juga pengaruh-pengaruh nama-nama Jepun, mungkin sekali pengaruh manga "Naruto" seperti Ulgaikendo, Samushin, Shinra, Qigon dan Qihea.
Terakhir sekali, mengenai glosari yang diselitkan di hujung buku. Sesetengah pembaca biasanya suka untuk menyemak glosari sambil membaca kandungan buku tersebut dan glosari itu sebenarnya mengandungi banyak unsur-unsur yang menjadi "spoiler" utama dalam cerita. Misalnya tentang asal-usul Dewa Meus, Adamus, Maharaja Kiril dan Tok Kiril.
Walau bagaimanapun, Kaizar tetap tidak sabar-sabar menanti buku kedua sambungan novel Pahlawan Adamus. Kalau menurut bab-bab terakhir dalam buku ini, Padawa Naldo akan membantu Pahlawan Terakhir Adamus untuk menyelamatkan permaisurinya, Ratu Rauna Her-Una Fiona sekaligus menentang makhluk jahat Iblisus. Manakala mengikut blog penulis pula, penulis akan mula menulis Saga Adamus yang mengandungi lima buah novel, dengan setiap satunya setebal 300 muka surat. Saga Adamus akan mengungkap sejarah alam Fiara dan beberapa pertarungan dahsyat di antara ahli sihir jahat dan baik, kemunculan Padawa Naldo dan rahsia hidupnya, kemunculan Pakatan Tiga Segi Syaitan yang menjadi dalang utama kisah Saga Adamus.
Mungkin sekali Kaizar terlalu menaruh harapan yang tinggi kepada buku Pahlawan Adamus untuk menjadi salah satu daripada kisah-kisah epik yang setanding dengan karya-karya omputeh menjadikan Kaizar sangat kritikal dalam memberikan kritikan. Setakat ini belum ada buku Melayu yang dapat memenuhi keinginan itu. Penantian bersambung...
PRO: Percubaan untuk mencipta alam fantasi yang baru bernama Fiara, lengkap dengan penciptaan bahasa yang baru iaitu Urkon, nama-nama yang pelik, mempunyai empat musim, pelbagai kaum, tumbuh-tumbuhan, binatang, hibrid manusia binatang.
CONS: Sesetengah perkara diperincikan secara berlebihan sehingga nampak tidak semulajadi misalnya watak berdialog panjang menerangkan sesuatu perkara bagaikan wikipedia bergerak (misalnya penerangan Ulgaikendo, tentang dunia alam Fiara dsb), manakala sesetengah perkara pula sekadar tempelan sementara dan tidak mempunyai peranan dalam menggerakkan jalan cerita. Spoiler twist cerita dalam glosari. Watak utama yang tampak tidak bersungguh-sungguh :)
Next: Bacaan siri "Takluk Jagat" diteruskan. Dan karya pertama Silsoh Khairol "Aku Bukan Hisham" boleh didapati di Gramedia Bookstore, The Mines, the only bookstore yang aku rasa punya katalog buku-buku Melayu paling banyak dan susunan menarik! Cumanya "Aku Bukan Hisham" diterbitkan kurang berkualiti berbanding penerbitan PTS. Just my two cents...

Sunday, February 28, 2010

TERIMA KASIH BUAT PEMBACA NOVEL PAHLAWAN ADAMUS.

Komen Adamus daroi pembaca novel P.A :
http://shenufan.blogspot.com/2010/02/pahlawan-adamus-silsoh-khairul-pts.html

"Panas dari oven kodai... ke aku yang lambat??Kusyi Hirdan.. Aliff apa tah sorang lagi yang budak cargas gila buat novel sains fiksyen.. Vovin.. dan Nurie ada banyak novel kat PTS.. yang nie aku baru grabbed dan torai.. kalau aritue ada satu novel direkomendasi oleh Ahmad Patria Abdullah.. yang nie x direkomendasi pulak oleh beliau.. tapi cerita dan mood memang sama dengan PERMATA AURORIUS di mana heronya diangkat jadi hero di alam lain untuk selamatkan satu alam lain.. dan dibawa ke negara tue melalui satu kemalangan.. hmmmmm..Bahasa memikat.. nama2 pelik dan mood cerita boleh tahan.. ada gak makhkuk2 pelik dalam nie.. di mana ada jugak muka dan wajah orang klat illustrasi belakang jadi bahannya.. lawak2..jangan tergelak bila korang nak tau ADAMUS tue stands for apo... wahahaha.. anak datu marzuki tue.."



"ini novel terbaru yang baru sahaja aku beli dua hari lepas, hari ni da abes baca. novel ni memang sangat menarik. PAHLAWAN ADAMUS...tajuknya membuatkan hatiku tertarik, membuak-buak ingin membaca. sementelah pula aku ingin mengisis masa lapang duduk di bilik saja. malas nak keluar jalan-jalan. Lagipun mnggu ni cuti thaipussam, dan aku tak balik rumah. so, inilah kesempatan untuk membaca buku ni. overall memang sangat best cerita ni. creadit to SILSOH KHAIROL. dialah penulis cerita ni. imaginasi sungguh tinggi, cukup kagum betul. ni ada sedikit sinopsis cerita ni. bagi sesaper yg tak suka cerita fiksyen jgn malu2 nak mencuba sesuatu yg baru. cerita ni bisa menarik anda ke dunia khayalan. Percayalah"
Komen ini dari pembaca : http://setiahawa89.blogspot.com/2010/01/pahlawan-adamus.html
thanks for they all...

Tuesday, February 23, 2010

NOVEL PAHLAWAN ADAMUS DI MPH

Dapatkannya di kedai buku MPH berdekatan dengan rumah anda!!!
DENGAN HARGA RM19.90 SAHAJA.
ANDA JUGA BOLEH BELI DARI PENULIS(SEKITAR SHAH ALAM SAHAJA) DENGAN HARGA RM 16.00(STOK TERHAD)
HUBUNGI 019 3852017
ATAU
(BOLEH DIHANTAR BY HAND OLEH PENULIS SENDIRI-STOK TERHAD!)

Monday, February 22, 2010

sedutan babak novel Pahlawan Adamus

Faizal melangkah keluar dari pintu dimensi Fiara ke pintu dimensi Bumi. Ketika itu, lembaga yang samar-samar dilihatnya menerusi pintu ajaib itu mulai jelas. Lembaga itu adalah orang dikenalinya. Orang yang tidak asing lagi baginya.
“Ayah!” jerit Faizal dengan gembira.
Dato’ Marzuki senyum riang dan mendepakan tangannya. Faizal segera meluru dan memeluk ayahnya itu. Mereka berpelukan buat beberapa ketika.
“Faizal….” Dato’ Marzuki bersuara sambil meleraikan pelukan mereka. “Zal tidak apa-apa?”
Faizal mengangguk. “Zal sihat, ayah. Zal tidak apa-apa.”
“Bagaimana dengan alam Fiara?”
“Semuanya baik-baik sahaja, ayah.” Faizal menjawab. “Eh, mana ayah tahu asal alam Fiara?”
Dato’ Marzuki tersenyum penuh makna sambil menggamitnya menuju ke kereta mereka. “Nanti ayah ceritakan dalam perjalanan ke rumah….”
Faizal mengangguk dan melangkah seiring dengan ayahnya. Kereta jenis pacuan empat roda Hilux sedang menunggu mereka di tepi jalan yang masih belum bertar. Kawasan itu lengang dan penuh kicau burung yang memukau pendengaran.
“Kita di mana ayah?”
“Taman Hutan Bukit Cahaya….”
“Hutan Bukit Cahaya?”
“Ya. Belakang ni Bukit Bandaraya. Rumah sepupu Zal tu… Saiful,” jawab ayahnya sambil melirik senyum. “Aii… baru dua hari hilang dari alam Bumi, sudah lupa tempat sendiri?”
“Sebulan ayah… sebulan,” jawab Faizal. Serta-merta kotak fikirannya membayangkan wajah Her-Una, Tok Kiril, Gimbaro, Korlan dan yang lain-lain lagi.
“Oh… sebulan di sana, dan dua hari hilang di sini. Memang tidak terasa perbezaan masa alam Fiara dan alam Bumi.”
“Ayah….” Tiba-tiba Faizal teringat sesuatu. “Bagaimana dengan motosikal Zal? Dan macam mana ayah tahu Zal masuk ke alam Fiara?”
“Ooo….” Mulut ayahnya melopong. Pandangan mata ayahnya merenung wajahnya sebelum menghidupkan enjin kereta dan memasukkan gear keluar dari kawasan itu ke jalan besar. “Tempat kemalangan Faizal tu ada tanda yang ditinggalkan.”
“Tanda? Tanda apa?”
“Serbuk merah….”
“Serbuk merah?”
“Ya… tanda itu menandakan pintu sihir Hamiseus dibuka menggunakan sihir tinggi,” jelas ayahnya.
“Sihir….”
“Sihir Pawang Ramin!.”
“Sihir pawang Ramin?” Faizal berkerut kening. “Siapa orang itu?”
“Dia orang tua kaum Usiari yang mula-mula ayah jumpa di alam Fiara. Dialah yang banyak membantu ayah dalam meneruskan hidup yang serba kekurangan dan asing bagi ayah. Orang tua itu banyak membantu ayah meneruskan hidup di alam Fiara. Ayah banyak belajar ilmu sihir dari orang tua itu. Dan ayah membukukannya dan ia digelar Kitab Kilira. Kemahiran membuat buku memang tidak ada di alam itu ketika ayah sampai. Tetapi setelah beberapa masa berlalu, ilmu membuat buku ayah sebarkan kepada orang tertentu sahaja. Ayah mengajar mereka pelbagai aspek dalam mencipta beberapa alat bagi menyokong kehidupan mereka.”
“Ayah yang menulis Kitab Kilira?”
“Ya… kitab itu ada banyak ramalan dan maklumat tentang alam tersebut. Zal sudah membaca kitab itu, kan?”
“Ya… Zal temui Kitab Kilira itu di perpustakaan. Tempat Zal bekerja.”
“Ya?” Ayahnya kerut kening. “Memang takdirnya, buku itu akan mencari keturunan ayah. Pahlawan terakhir, Adamus.”
“Ya, ayah. Mereka menggelar Zal sebagai Adamus. Mulanya Zal tidak dapat terima semua itu. Tetapi entah mengapa Zal berubah perlahan-lahan menjadi Adamus yang disanjung semua orang Usiari.”
“Hebat anak ayah!”
“Pedang Unikorn dan baju zirah serta bumerang Unikorn itu?”
“Itu ayah yang buat. Dan ayah, letakkan kuasa sihir Unikorn di dalamnya. Kemudian pisahkan alat-alat itu ke beberapa tempat bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan pihak yang salah. Alam Fiara penuh dengan makhluk-makhluk Usiari dan makhluk lain yang sukar diduga sifat dan sikapnya. Yang jelasnya, ada makhluk Usiari yang memiliki sikap jahat seperti anak pawang Ramin. Umon namanya.”
“Pawang Ramin ada anak?” Tersentak Faizal mendengar nama itu. “Umon… macam nama Tok Nujumon. Ada kaitan agaknya, ayah?”
“Tok Nujumon? Huh… mungkin juga. Ayah tidak sempat mengikut perjalanan hidup Umon sepenuhnya. Sebab ayah terpaksa kembali ke Bumi melalui portal yang Zal keluar tadi.”
Faizal teringat kata-kata yang pernah muncul di telinganya. “Adamus… kau adalah pahlawan akhir zaman yang ditakdirkan. Sebagai Adamus tidak akan ada sesiapa yang mampu memudaratkan kau. Sebagai Adamus juga, kau jangan bimbang dan takut. Hati mesti kuat dan cekal. Bertenanglah… kau akan sentiasa selamat di mana sahaja kau berada.”
Faizal mengangguk faham. “Jadi… Ayah adalah Dewa Meus?”
Dato’ Marzuki menoleh dan mengangguk bersama senyuman yang menggambarkan kebanggaan. “Dewa Meus…. Ya, nama itulah yang memulakan segalanya. Dewa Meus!”
Faizal mengalih pandangan ke luar. Di kiri kanan jalan penuh dengan hutan yang masih tebal dan menghijau. Dedaunan menari-nari seolah-olah mengiringi perjalanan pulangnya dengan lambaian yang penuh dengan misteri di sebaliknya. Sayup-sayup dari tengah-tengah kehijauan hutan kedengaran suara gemeresik berbisik bersama deruan angin menerjah gegendang telinga Faizal.
“Adamusss….”

1st novel

Pahlawan Adamus- Terbitan PTS 2010--Faizal tercampak ke alam Fiara yang asing secara tidak sengaja ketika bergegas ke tempat kerja. Di alam yang asing itu dia menjadi pahlawan yang diramalkan sebagai pahlawan yang akan membawa sinar keamanan dan kedamaian. Dia digelar pahlawan Adamus dari keturunan Dewa Meus yang pernah menjadi penyelamat dan pembawa ketamadunan alam Fiara. Bersama Tok Kiril, ahli sihir agung itu dia mengembara mencari pedang sakti yang diramalkan sebagai pedang penghapus kejahatan. Di alam serba asing itu juga dia menemui kekasih hati yang sangat menepati keinginan hatinya. Malangnya semua itu berakhir dengan trajedi penculikan yang membawa Faizal melalui pengembaraan yang sangat mengujakannya dan satu pengembaraan yang sememangnya sebagai satu jalan takdirnya di alam itu. Di tengah pengembaraan itu dia mengenali pelbagai perkara dan pelbagai pengalaman yang sukar dilupakan, yang juga hampir-hampir meragut nyawanya. Dia bertemu dengan Gullok, Ulduk, Binatang Unikorn Hijau, Pari-pari Adasil, Gimbaro dan banyak lagi makhluk Fiara yang sangat aneh dan ganjil. Di akhir pengembaraan itu dia bersua muka dengan maharaja Syaitan Karnakas dan Tok Nujumon yang memerintah alam itu dengan kejahatan dan kezaliman di istana awan, Hamikhdas. Berjayakah dia menghapuskan kejahatan dengan pedang Unikorn? Berjayakah dia menyelamatkan Her-Una, kekasih hatinya? Dan berjayakah dia pulang semula ke alam Bumi? Ikuti kisahnya pengembaraan Faizal sebagai Pahlawan Adamus di alam Fiara.

ADAMUS

novel pertama