::: sinopsis :::

::: sinopsis :::
.

Monday, November 29, 2010

PAHLAWAN ADAMUS DIULANG-CETAK!


PTS sudah menerbitkan 20 judul novel fantasi. Namun sangat sedikit yang diulangcetak.
Novel 'Pahlawan Adamus' adalah salah sebuah yang diulangcetak. Feedback dari pembaca mengatakan mereka puas hati membaca novel tebal ini disebabkan daya imaginasi pengarangnya yang tinggi.
Dengan menganalisis novel-novel fantasi yang tersadai di dalam gudang PTS, didapati ciri-ciri novel fantasi yang tidak laku dalam pasaran adalah seperti di bawah:
(i) Nipis.
Ukuran 'nipis' adalah kurang daripada 350 halaman. Cerita yang baik, gaya bahasa yang indah, dan imaginasi yang tinggi sekalipun, apabila bukunya nipis, orang tidak teringin mengambilnya dari rak buku di dalam kedai buku.
Komplen yang popular diterima dari pembeli buku adalah 'tidak puas dibaca'.
(ii) Ceritanya tidak mempunyai kaitan dengan unsur-unsur sejarah alam Melayu ataupun Nusantara, yakni tidak mempunyai unsur historisiti.
(iii) Judul yang pelik.
Maksud judul yang 'pelik' adalah perkataan judul yang bukan perkataan Melayu, dan juga bukan perkataan yang ada dalam kamus mana-mana bahasa, yakni perkataan yang direka-reka sehingga pembaca tidak dapat mengagak apa maknanya. Dari sudut pandang teori interteks, judul itu tiada mempunyai unsur interteks sama sekali.
(iv) Judulnya perkataan Melayu yang 'pelik'.
Judulnya menggunakan perkataan Melayu tetapi perkataan itu tidak biasa digunakan dalam kehidupan sehari-harian, sehingga pembaca Melayu pun tidak tahu apa makna perkataan itu.
(v) Nama-nama watak yang 'pelik'.
Nama yang 'pelik' adalah nama-nama watak yang tidak dapat dikaitkan dengan perkataan Melayu, oleh itu tidak dapat diketahui maknanya ataupun kaumnya. Nama yang pelik itu direka-reka dengan tidak menggunakan teori makna, oleh itu pembaca tidak dapat menggambarkan ciri-ciri personaliti watak-watak itu.
(vi) Nama tempat yang 'pelik', yang tiada kaitan dengan perkataan Melayu dan alam Melayu-Nusantara.
Novel fantasi yang laku dalam pasaran adalah novel-novel yang kuat unsur-unsur interteks sejarahnya. Ini bermakna penulis fiksyen fantasi mestilah mempunyai pengetahuan yang luas tentang sejarah.

RUJUKAN : http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_ciri-ciri_novel_fantasi_yang_tidak_laku_dalam_pas/

ULASAN PEMBACA

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Kulit Buku : Amat menarik!
jalan cerita : recam dan amat adventure! majis dan mengujakan!
Bahasa : mudah difahamai dan terdapat bahasa asing di dalam… imaginasi sungguh tinggi!
tahniah!
&mdash John Haris • 11 Nov 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
kulit buku “Pahlawan Adamus” sangat menarik perhatian . Cerita tidak memeningkan tapi nama watak, tempat, mantera sihir tu pening sikit. Bahasa terlalu baku. Cuba guna sedikit sinkof dalam dialog. Imiginasi pengarang sangat tinggi hingga mempengaruhi pembaca.
&mdash myrul • 17 Oct 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Maaf kepada yang mendapat buku yang tidak ada muka surat(kosong).. sila dapatkan yang ada muka suratnya dan laporkan kepada pihak PTS tentang hal tersebut. Terima kasih buat semua yang mengikuti kisah Adamus di alam Fiara ini… sila lawati blog Adamus…
http://pahlawanadamus.blogspot.com/
terima kasih…
&mdash SK • 18 Aug 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
saya berasa seronok apabila membaca buku tersebut tapi keseronokan hilang apabila ada beberapa muka suratnya hilang itu shj yang saya ingin beritahu
&mdash nur adila bt amran • 18 Jul 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
penuh dgn pengembaraan
Ulasan kaver buku
menarik…
Ulasan bahasa
tidak menggunakan bahasa rojak memerap nilai murni…
&mdash nurul afifah • 08 Jun 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
tidak memeningkan boleh difahami. memang best
Ulasan kaver buku
menarih. orang selalu kate jangan menilai dari luaran, tapi kalau dah cantik, mesti tertarik
Ulasan bahasa
bersahaja. tpi klu berpuitis sikit memang lengkap
&mdash adibah • 12 May 2010


PENULIS S.K : Alhamdulillah... semoga pembaca terus terhibur... Insyallah Pahlawan Adamus part 2 dalam proses lagi... nantikan episod seterusnya!

Monday, November 15, 2010

ADAMUS 2- BAB 9

“Kau… Samushin air?” kata Adamus.
Tetapi lelaki botak itu tidak menjawab walaupun wajahnya bereaksi kehairanan.
“Dia tidak faham kata-kata kau, Adamus.” Ujar Shiris, masih tenang. Mungkin dia manganggap Samushin Air itu sama aliran dengannya dan tidak membahayakan mereka, getus hati Adamus.
Konha Sera?(Siapa kau?)” tutur Shiris. “Sera Samushin pir?(Kau Samushin Air?)”
Mata Hijau lelaki itu merenung Shiris dengan reaksi kehairan. “Konha Sera?(Siapa kau?)”
Sero Samushin pir, Shiris! (Aku Samushin Air, Shiris!)” Jawab Shiris sambil melangkah tenang dan menapak di permukaan air dengan tenang, menghampiri lelaki botak itu secara pelahan-lahan. “Aima jinris hair soras, naag lento! (Kami datang dengan aman, jangan takut!)”
Lelaki botak kerut kening. Tetapi menarik nafas lega. Mendadak hawa sejuk yang membara tadi sirna dan suasana kembali normal. Sejuk seperti tadi, Shiris melemparkan senyumannya.
Paraa nasra!(Terima kasih!)” kata Shiris sambil menghentikan langkah kira-kira sehasta dari batang tubuh lelaki botak itu.
Lelaki botak itu, dingin dan wajahnya masih menggambarkan kecurigaan. Tanpa berlengah Shiris mengeluarkan medallion yang diberi Tok Kiril dan menunjukkannya kepada lelaki itu. Mata hijau lelaki itu berubah, terkejut dengan apa yang dilihatnya.
“Kau adalah orang Kultus Persaudaraan Nekulus?” tuturnya lalu menyambung dengan kata-kata yang tidak difahami Adamus. “Sugsi Naare Hikras, Hikras Naare Sugsi!”“Nusuari!(Selamat Sejahtera!)” ucap Shiris, masih dengan senyumannya. Medalion itu disimpan semula dalam saku baju.
“Nusuari!” Jawab lelaki botak itu. “Emraaku Sero Padawa Naldo, miik Nekulus!(Nama aku Padawa Naldo, Puak Nekulus!)”
Pada masa yang sama, lelaki botak itu juga menunjukkan medallion yang serupa dari balik pakaiannya dan kemduian memasukkannya semula.
“Sero Shiris… Aiwo Adamus! (Aku Shiris… dia Adamus!)” Ujar Shiris sambil menyentuh dadanya dengan tapak kanan dan kemudian mengarahkan tangannya itu ke arah Adamus.
Adamus mengangguk dan senyum. “Nusuari!”
“Nusuari!” lelaki botak yang menamakan dirinya Padawa Naldo itu senyum dan mempamerkan giginya yang tersusun rapi. Sama seperti Usiari yang lain. Lelaki ini bertelinga runcing dan ada anting-anting kecil di telinga kanannya. “Sero padawa Naldo!”
“Sero, Adamus.” Kata Adamus sambil mengusap dadanya dengan tangan kanan, sama seperti apa yang Shiris lakukan sebentar tadi.
“Adamus?” Padawa Naldo, kembali kerut kening apabila mendengar nama itu. “Sera ek satrasis summa iit?(Kaukah pahlawan terakhir itu?)”
Maare niik sera…(Maafkan aku…)” tiba-tiba Shiris mencelah. “Sero Iadna Ukraku Uhab Adamus?(Kau mahir bertutur bahasa Adamus?)”
Padawa Naldo mengangguk dan wajahnya tiba-tiba menjadi lebih riang. “Iadna! Iadna!”“Kau Adamus?” katanya setelah diam sejurus. “Betulkah kau adalah pahlawan terakhir itu?”
Adamus tarik nafas. Mengaku dia Adamus adalah sukar baginya. Memandangkan keadaannya sekarang yang memang tidak serupa Adamus. Tanpa Pedang Unikorn dan peralatan lainnya, dia bukanlah Adamus, pahlawan terakhir itu. Dia adalah Faizal, orang dari dimensi Bumi. Ingin sahaja dijawab seperti itu. Tetapi lidahnya kelu. Tidak mahu menghampakan hati Shiris yang menaruh harapan yang amat tinggi itu.
“Ya, itulah yang orang Usiari lain katakan tentang aku.” Kata Adamus pelahan.
“Jadi betullah ramalan itu!” Padawa Naldo bersuara sedikit tinggi berbanding tadi. “Benarlah kata-kata pendeta!”

PAHLAWAN ADAMUS DIULANG CETAK!


JUDUL ULANG CETAK

1. Semanis Tart Ceri 3000 unit
2. The Leader In Me - ed. Bahasa Melayu 2000 unit (sudah masuk)
3. Usahawan Cilik: Garaj Aiman 2000 unit (sudah masuk)
4. Seperti Keju & Coklat 3000 unit (sudah masuk)
5. Pahlawan Adamus 2000 unit (sudah masuk)

PENULIS : Nampaknya, pembaca terhibur dan sambutan menggalakan... insyallah ADAMUS 2... dalam proses...insyallah 2011 siap la...

Friday, October 22, 2010

PAHLAWAN ADAMUS - PART 3


Faizal tersentak dari tidur.
Peluh dingin membasahi seluruh tubuhnya. Mimpi itu datang lagi! Mimpi yang sama seperti hari-hari lalu. Jam digital di atas mejanya memaparkan angka dua pagi. Dia mengeluh. Gambaran ataupun mimpi itu berulang lagi pada waktu yang sama. Mimpi yang membuatnya berpeluh-peluh dan rasa takut yang didesak oleh mimpi yang sangat mengujanya dan mendebarkan.
Tiba-tiba pendengarannya menangkap sesuatu. Satu bunyi yang membuat telinga sangat sakit seakan-akan ditekan satu tenaga yang kuat. Tekanan itu semakin lama semakin kuat dan membuatnya mengerutkan dahi. Dia memejamkan mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Adamus….”
Sekali lagi nama itu disebut bersama desiran angin sejuk yang tiba-tiba menjalar ke dalam bilik tidur yang suram itu. Seluruh tubuhnya meremang, seram. Denyutan jantungnya melaju. Dia meliarkan mata dan merenung ke serata arah, cuba mencari kelibat ataupun mana-mana sumber yang memungkinkan suara itu bergema di dalam ruang biliknya.
Kesuraman bilik menyambut pandangannya sesaat. Kemudian tiba-tiba satu lembaga muncul dari kegelapan. Dia tersentak!
Di hujung biliknya ada satu lembaga hitam yang terbentuk dari kesuraman bilik. Hawa sejuk menyengat sumsum tulangnya, sehinggakan wap udara menyembur deras dari hidungnya tatkala dia menghembus nafas. Dia merenung lembaga itu dengan dada yang berdegup kencang.
“Adamus!”
“Hah?”
Sekali lagi dia tersentak. Pantas bangun cuba melarikan diri. Tubuhnya jatuh di atas permukaan lantai marmar yang sejuk. Dia mengaduh keras dan cemas lalu bangkit kembali dengan pantas sambil merenung ke serata arah. Lembaga hitam itu hilang!
“Ah! Mimpi lagi rupanya…” Dengus nafasnya kedengaran lega.
Jam digital direnung sekilas. Jam 2 pagi!
Dia menggeleng kepala. Waktu itu berulang lagi. Waktu yang sama tatkala dia diserang mimpi itu. Gila! Sudah dua bulan dia mengalami mimpi itu. Hampir seluruh hidupnya kini semakin berubah dari sehari ke sehari.
Kerja-kerja di perpustakaan pun turut berubah. Dia tidak lagi dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kerja-kerjanya. Jika dia sempat melakukannya, dia akan buat. Tetapi dengan fikiran yang bercelaru dengan masalah peribadi dan mimpi-mimpi yang membuatnya tidak senang tidur, ia tidak memberinya peluang bagi melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
“Mimpi dalam mimpi… hum…”


“Faizal!”
Faizal menoleh. Seketika dia terkedu. Puan Roslina berdiri di sebelahnya dengan muka yang merah padam menahan marah.
“Ya, puan?” Dia bersuara agak gementar. Sememangnya dia takut sedikit dengan ketuanya itu.
“Kamu sudah susun buku?”
“Su… su… sudah, puan,” jawabnya teragak-agak.
“Sudah?”
Faizal angguk. “Ya, puan. Saya dah susun buku tadi.”
“Jangan tipu saya. Saya baru saja naik aras lima. Buku berselerak. Troli buku melintang di lorong rak. Itu susun kamu kata? Sudah… saya nak kamu susun sekarang juga. Petang nanti saya periksa. Cepat pergi sekarang!” arah Puan Roslina, geram.
Faizal bangun. Malas dia mahu melayan kerenah majikannya itu. Tetingkap myspace ditutup dan tanpa berkata apa-apa dia beredar ke tangga dan terus menaikinya. Tiba di rak yang di bawah seliaannya itu, dia terkejut dengan apa yang dilihat. Seingatnya dia baru sahaja menyusun buku-buku itu. Namun, keadaannya adalah sebaliknya. Malah lebih teruk lagi. Rasa marah mendongkol dalam hatinya.
‘Siapa pula yang selerakkan buku ni?’ getus hatinya. ‘Tentu ini kerja Zulhani dan Farid!’ Budak dua orang itu memang tidak boleh lihat dia duduk senang. Ada saja kerja-kerjanya yang dirosakkan dua orang sahabat itu.
Dia mengeluh. Rasa marah dan kecewanya berbaur menjadi satu. Dia memungut buku yang berselerak di lantai itu satu per satu. Buku-buku di atas troli juga kelihatan tidak teratur. Ada buku yang dibaringkan, ada yang terbalik. Ah! Geram hatinya melihat keadaan itu.
Dua tahun lepas dia menjadi pembantu di perpustakaan ini. Sejak tiga minggu selepas itulah dia selalu menemui buku-buku di bahagiannya berselerak tidak mengira masa. Kadang-kadang waktu pagi ketika masa kerja bermula dia mula menyusun buku di rak seliaannya. Dia mendapati buku-buku itu berselerak teruk. Pernah sekali dia mengintai dan cuba memerangkap pelaku yang bertanggungjawab.
Namun hampa.
Satu demi satu buku-buku itu diperiksanya. Mujurlah tiada buku dari aras lain ataupun rak lain yang tercampur. Kalau tidak susah juga hendak mengasingkan buku-bukunya dengan buku-buku dari bahagian lain.
Ketika menyusun buku-buku itu, dia terlihat sebuah buku yang agak ganjil dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini, terselit di antara buku-buku yang bertimbun itu. Buku itu dicapai dan dibeleknya. Biasanya buku yang dia tahu dan sedia maklum mempunyai kulit tebal dan bukan jenis lembut seperti itu. Dia merasa dengan tangannya, kulit buku itu bukanlah seperti kebiasaan kulit buku yang pernah dia lihat. Terasa seperti kulit dan agak keras tetapi lembut apabila lama disentuh dan berwarna kekelabuan. Ada petak-petak kecil yang memuatkan simbol-simbol ganjil di sekeliling sebuah simbol bulat. Di tengah-tengah bulatan itu ada suatu bentuk berbucu tiga. Ada tiga bulatan kecil yang mengitari bulatan besar di tengah yang terpapar padanya simbol ganjil berwarna merah. Simbol yang membuatnya diserang seribu perasaan yang sukar ditafsirkan. Bulu romanya terasa meremang tatkala dia mengusap-usap simbol ganjil itu.
Dia sudah terlupa tugas-tugasnya. Tumpuannya kini hanya pada buku ganjil itu. Dia menyelak helaian demi helaian dan cuba membacanya, namun huruf-huruf yang tertera pada helaian buku itu bukanlah huruf–huruf biasa. Buku itu penuh dengan huruf dan simbol-simbol yang tidak difahaminya.
Dia diserang seribu persoalan. Mengapa buku itu ada di situ? Buku jenis ini ada di perpustakaan tempat dia bekerja? Siapa pula pemilik buku itu? Bahasa apa yang digunakan? Huruf-huruf dan simbol itu juga sangat menghairankan. Dia cuba membuka buku itu. Helaian demi helaian diselaknya kembali. Dia langsung tidak memahaminya. Semuanya dalam huruf-huruf ganjil dan membentuk perkataan-perkataan asing dan ganjil.
Untuk apa buku itu wujud jika tidak difahami oleh sesiapapun di dunia ini? Dia tahu, kerana dia selalu mengikuti kursus pelbagai bahasa dunia di Pusat Bahasa dan juga mengenali pelbagai jenis huruf bahasa asing di seluruh dunia. Namun, tidak ada yang serupa itu. Semuanya serba ganjil dan baru.
Buku-buku perpustakaan yang bertaburan itu dibiarkan. Minatnya pada buku yang ditemuinya itu lebih penting kini. Dia beredar ke tempat duduk yang disediakan. Dia terus menyelak helaian demi helaian berkali-kali dengan harapan dia akan menemui sesuatu yang difahaminya di antara simbol-simbol dan huruf-huruf itu.
Namun, dia hampa. Tiada satu pun yang difahaminya.
Tiba-tiba dia terselak satu helaian yang mengandungi gambar rajah seperti sebilah pedang. Ditatapnya gambar rajah itu penuh minat. ‘Memang pedang!’ getus hatinya. Ada tulisan dan simbol di bawah gambar rajah itu. Tetapi sedikit pun dia tidak mampu memahaminya. Gambar rajah pedang itu kelihatan unik dan menarik.
Jarinya mengusap-usap gambar rajah itu perlahan-lahan. Dia kagum dengan lukisan pedang itu. Cukup cantik dan unik. Rekaannya halus dengan ciri-ciri corak pedang yang cukup aneh. Hanya mata pedang itu saja yang bentuknya sama seperti pedang-pedang biasa yang dia lihat dalam buku-buku berkenaan pedang. Yang menarik hatinya ialah hulu pedang yang berukir unik dan cantik. Ada sebentuk permata hijau di antara hulu dengan mata pedang. Warna pedang itu seluruhnya hitam pekat kecuali mata pedang yang tetap kelihatan berkilau seperti besi perak, seperti mata pedang yang lain. Ada lima lubang pada bahagian tengah pedang itu. Ada warna hijau yang membentuk lubang itu. Pada bahagian tengah pedang itu ada simbol titik merah dan satu kepala anak panah tanpa batang juga berwarna merah seolah-olah menyokong titik merah bulat itu. Pada hulunya pula ada bukaan yang memuatkan sebiji permata hijau yang bercahaya suram.
Ia kelihatan cukup unik dan mengagumkan. Tidak pernah dia melihat pedang jenis dan bentuk seperti itu sebelum ini.
Tanpa di sedarinya, usap jemarinya menyebabkan timbulnya cahaya halus dan terang muncul dari permata hijau itu. Cahaya yang berselang seli merah dengan hijau seolah-olah mendesis halus. Kedengaran juga angin kuat berhembus pada telinganya. Dia mula diserang rasa takut. Pantas dia menutup buku itu. Serta-merta cahaya itu hilang. Begitu juga dengan angin kuat yang berhembus tadi. Turut lenyap mendadak.
Faizal menarik nafas lega. Dia tidak pasti apa yang berlaku. Namun, minatnya untuk mengetahui fenomena ganjil itu meluap-luap. Hatinya masih berdebar-debar walaupun dia sedikit lega dan rasa selamat.
Matanya melilau ke seluruh ruang perpustakaan. Petang itu tiada seorang pun di aras itu. Cuti semester baru sahaja bermula. Oleh itu, ramai pelajar yang balik kampung halaman masing-masing. Oleh yang demikian, jumlah pelajar yang berkunjung ke situ pada hari itu tidak ramai. Terutamanya di aras lima, tingkat terakhir perpustakaan itu. Pelajar-pelajar lebih suka mengulang kaji pelajaran di tingkat tiga dan empat.


Dia mencapai buku itu lalu menuju ke bilik perbincangan yang terletak tidak jauh dari rak buku di bawah seliaannya. Di situ dia menyelak helaian buku itu satu demi satu, mencari kembali helaian yang mempunyai gambar rajah pedang bercahaya. Setelah berjaya menemui helaian itu, dia menunggu seketika. Kemudian dia mengusap-usap gambar rajah pedang itu dengan jarinya. Dan seperti tadi gambar rajah pedang itu mulai bercahaya hijau diselang seli cahaya putih dan merah terang. Makin lama makin kuat cahaya itu. Jantungnya berdegup keras. Rasa takutnya tiba-tiba memuncak. Dan ketika itu cahaya tersebut semakin kuat memancar daripada gambar rajah pedang tersebut. Satu tarikan tenaga terhasil daripada cahaya terang itu.
Cahaya silau itu mula membutakan penglihatannya.
Dia segera menutup matanya lalu pada masa yang sama juga dia menutup buku itu. Tanpa bertangguh dia mengambil buku itu lalu keluar dari bilik perbincangan dan menuju ke pejabat di aras bawah dengan dada yang penuh debaran. Di situ dia meletakkan buku berkulit hitam dan bersimbol ganjil itu di atas mejanya.
Setelah seketika, dia mencapai kembali buku hitam itu. Ketika itu pandangannya tiba-tiba gelap. Tidak lama kemudian ada cahaya putih menyelinap di sampingnya. Dia tersentak. Bayangan seorang tua muncul di hadapannya. Tubuh lelaki tua itu tinggi dan tegap, ada sebatang tongkat hitam pada tangan kirinya. Pada tongkat itu ada tiga bonggol bulat yang berwarna hijau. Ada permata bulat yang besar pada hujung atas tongkat itu. Permata bulat itu bercahaya hijau dengan bilah-bilah petir kecil di dalamnya, saling bercahaya dan seolah-olah berinteraksi di antara satu sama lain.
Lelaki tua itu memiliki rambut yang panjang memutih sepadan dengan janggut dan misainya yang memanjang ke dada. Jubah putihnya lusuh dan mencecah lantai. Faizal terpegun dengan susuk bayangan itu. Mata lelaki tua itu merenung ke arahnya dengan pandangan yang mesra, tanda ingin berkawan.
Ketika itu dia tersedar. Matanya berkali-kali dikelipkan. Berulang kali dia memastikan dirinya tidak berkhayal ataupun bermimpi. Dia memandang sekeliling. Ternyata dia masih berada di tempat duduknya di dalam pejabat itu. Dan bayangan lelaki tua itu sudah hilang bersama kesedarannya.
Tiba-tiba dia terasa sakit pada belakang tengkuk dan pantas pula jemarinya mengusap bahagian itu. Ada sesuatu yang timbul dan membonjol pada bahagian tersebut. Beberapa saat kemudian rasa sakit itu beransur kurang dan akhirnya hilang sama sekali.

BERSAMBUNG...

Wednesday, October 20, 2010

EPISOD 2


“Adamus… Adamus!”
Suara garau bergema di malam yang hening itu memecah kesedaran, sekali gus membangkitkan rasa seram dan takutnya. Suara itu acap kali bergaung dan didengarinya tanpa dijangka. Tiba-tiba sahaja suara itu seakan menggila dalam setiap ruang yang dilaluinya. Setiap helaian mimpi yang diterokanya, suara itu akan bergema menguasai gegendang telinga dan kesedarannya tanpa rasa belas dan tanpa mengira keadaan.
Ia akan menggila bagaikan gelombang ombak yang menggulung pantai. Menghempas ke gigi pantai dengan gagah. Bagaikan ada magnet di antara mereka. Di mana saja dia berada di situlah suara itu akan bergema memecah tabir-tabir mimpinya.


ALAM FIARA

Api yang marak kemerahan itu tiba-tiba sahaja bersinar terang bagaikan disimbah minyak. Cahaya terang berwarna hijau kemudiannya menggantikan cahaya api merah dan mula bersinar dengan denyaran tenaga yang menyakitkan telinga. Berdengung-dengung menguasai alam yang kian sunyi.
Pendeta Hoslis tersentak. Begitu juga Padawan Naldo. Masing-masing berkerut kening.
“Naldo!” Pendeta Hoslis merenung ke arah Padawa Naldo sekilas. Ada riak teruja pada wajah yang berumur dalam lingkungan 40-an itu. Kening putihnya hampir-hampir bertaut rapat.
“Petanda Arneus!” Bisikan Pendeta Biara Urtughul itu bergema seketika.
Padawa Naldo turut menyebut nama itu dengan berbisik, “Petanda Arneus?”
Pendeta Hoslis mengangguk sambil bergerak tidak sabar ke arah unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu. Padawa Naldo mengekor dengan rasa ingin tahu.
“Dia sudah bertindak!”
“Dia? Dia siapa?”
“Tok Kiril sudah bertindak!”
Mereka berdua berdiri. Riak cemas dan teruja terpapar pada wajah mereka.
Padawa Naldo bersuara pelahan, “Api hijau akan menyala dan menerangi seluruh ruang Meus dan suara keadilan akan bergema di serata alam bersama gempita naga salji dari utara yang membaham kejahatan di selatan. Tanda ini adalah Pahlawan Adamus yang akan bangkit di akhir zaman Nirmala memusnahkan seluruh kejahatan. Bersamanya ada dua belas pahlawan yang terbilang daripada semua puak alam Fiara dan memusnahkan Maharaja Syaitan yang kejam.”
Pendeta Hoslis menoleh ke arah Padawa Naldo dengan wajah yang tenang tetapi menoleh kembali ke arah unggun api yang kini memancarkan warna kehijauan yang terang. Dia faham apa yang dikatakan Padawa Naldo itu. Semua kisah itu tercatat dalam Kitab Burqus. Kitab yang sudah berusia ribuan tahun itu mengungkapkan segala ramalan masa hadapan. Kitab Burqus disalin oleh Pendeta Herselis dari kitab tertua di alam Fiara.
“Benarkah Adamus akan muncul?”
Pendeta Hoslis menoleh ke wajah Padawa Naldo. Pembantu yang menghambakan dirinya dengan Biara Urtughul itu sedikit kurang yakin dengan apa yang berlaku di hadapan mereka. Mungkin kerana tidak menduga sama sekali ramalan dalam kitab Burqus itu adalah benar.
Pendeta Hoslis membuka jubah lusuhnya dan membusungkan dadanya ke arah Padawa Naldo.
“Lihat ini Padawa… lihatlah…”
Padawa Naldo segera mengalihkan pandangannya atas dada Pendeta Hoslis. “Tanda apakah ini?”
“Inilah tanda keramat pengikut Adamus, pahlawan akhir zaman itu.”
Mulut Padawa Naldo melopong seketika. Lambang itu pernah dilihatnya dalam kitab tua sebelum ini. Dia atas dada Pendeta Hoslis terukir satu corak yang timbul dan berwarna hijau tua. Lambang itu memancar cahaya hijau, seolah-olah menyambut pancaran cahaya hijau terang dari unggun api raksasa di tengah-tengah biara itu.
“Apakah tuan… apakah…”
Pendeta Hoslis mengangguk, mengiakan apa yang berlegar-legar dalam benak Padawa Naldo.
“Tuan pendeta Hoslis adalah Pahlawan Adamus?” Ungkapan itu muncul kemudian dari mulut Padawa Naldo, menyambung suaranya yang tenggelam sebentar tadi.
“Bukan!” Pendeta Hoslis pantas menafikan. “Adamus akan muncul di timur bersama bintang terang Oriomus. Ketika itu Adamus bersama 12 orang pahlawan sakti bergerak bersama dari segenap penjuru menghapuskan kejahatan.”
Padawa Naldo tersentak. Tidak menyangka telahannya tidak mengena. Dia tunduk seketika dan mengalihkan pandangan ke tengah-tengah unggun api yang semakin terang cahayanya.
Beberapa saat kemudian cahaya itu perlahan-lahan malap. Pada masa yang sama angin bertiup kencang dari selatan membuatkan ruang biara itu dicengkam kesejukan dan denyar tenaga yang membingitkan telinga turut sama hilang perlahan-lahan.
“Esok aku akan ke utara!” Tiba-tiba Pendeta Hoslis bersuara dengan nada tinggi dan bersemangat. Padawa Naldo tersentak dengan kata-kata pendeta itu.
“Tuan pendeta ke utara esok?”
Pendeta Hoslis tidak menjawab sebaliknya mengangguk dengan tenang.
“Kalau begitu, aku… Padawa Naldo ingin ikut sekali!” Padawa Naldo pula tiba-tiba bersemangat mahu menyertai gurunya. Anak matanya menancap dengan girang pada wajah Pendeta Hoslis.
Pendeta Hoslis menoleh dan merenung wajah anak muda itu dengan pandangan yang sungguh bermakna. Kemudian dia mengangguk setelah agak lama memikirkan sesuatu. “Mungkin… ya… mungkin inilah takdir kamu, wahai padawa.”
Padawa Naldo mengangguk pantas dengan girang. Tanpa berkata apa-apa lagi dia menoleh dan berlalu keluar meninggalkan Pendeta Hoslis dengan pandangan yang mengandungi harapan dan hati yang penuh semangat teguh dan kukuh demi memenuhi takdirnya.
Esok akan bermulanya perjalanan yang akan menentukan nasib dunia Fiara yang sudah lama dicengkam tenaga kejahatan dari kegelapan itu. Esok juga dia akan tahu kebenaran ayahnya tentang ‘Pahlawan Adamus’ yang ditunggu-tunggu sejak dahulu lagi. Esoknya Pedang Ornalid akan keluar dari sarungnya demi berbakti kepada pahlawan ramalan itu.

Tuesday, October 19, 2010

KOMEN-KOMEN PEMBACA NOVEL PAHLAWAN ADAMUS PART 1

Komen 1
saya berasa seronok apabila membaca buku tersebut tapi keseronokan hilang apabila ada beberapa muka suratnya hilang itu shj yang saya ingin beritahu
nur adila bt amran
18 Jul 2010
12:27 AM

Komen 2
Ulasan isi kandungan/jalan cerita : penuh dgn pengembaraan
Ulasan kaver buku : menarik…
Ulasan bahasa : tidak menggunakan bahasa rojak memerap nilai murni…
nurul afifah
08 Jun 2010
9:03 PM

komen 3
Ulasan isi kandungan/jalan cerita : tidak memeningkan boleh difahami. memang best
Ulasan kaver buku : menarik. orang selalu kate jangan menilai dari luaran, tapi kalau dah cantik, mesti tertarik...
Ulasan bahasa : bersahaja. tpi klu berpuitis sikit memang lengkap
refer : http://pts.com.my/index.php/buku/pahlawan-adamus/
adibah
12 May 2010
4:29 PM

PAHLAWAN ADAMUS - PART 1


SEBUAH CATATAN
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM MANIS BUAT SEMUA. Anda pernah bermimpi untuk melalui alam fantasi anda? Pernah melihat kuda bertanduk? Makhluk-makhluk mistik dan ganjil misalnya? Naga ataupun pari-pari, ataupun juga raksasa? Pernahkah anda melihat semua itu dengan mata kepala anda sendiri dalam alam fantasi impian anda? Pernahkah anda menjadi pahlawan ajaib dan memiliki peralatan ajaib untuk menentang penjahat-penjahat yang berkuasa sihir yang menggerunkan?
Jika tidak, biar saya ceritakan bagaimana kisah yang menarik ini bermula. Bagaimana cerita ini berakhir dan bagaimana ia begitu mengujakan saya. Saya masih ingat ketika itu. Ketika dan saat itu bermula. Semuanya normal kerana saya juga sama seperti anda. Memulakan hidup setiap hari dengan riang dan patuh pada norma serta peraturan hidup yang sedia ada.
Mulanya saya juga seperti anda, hidup sebagai manusia biasa sehingga pada suatu hari berlaku satu peristiwa yang akhirnya mengubah keseluruhan hidup saya. Mungkin anda tidak akan percaya dengan apa yang saya ceritakan ini. Saya memahami ketidakpercayaan anda itu memandangkan anda tidak pernah mengalaminya seperti mana saya alami. Percayalah pengalaman ini amat bernilai dan menarik untuk diketahui dan ditatap bersama-sama. Percayalah anda tidak akan rugi mendengarnya dari mulut saya sendiri.
Dan, percayalah semuanya bermula seperti ini…