::: sinopsis :::

::: sinopsis :::
.

Wednesday, April 13, 2011

ADAMUS... STUCK DI PANTAI

Arrghhh... Adamus stuck lagi bersama Shiris dan Anabel Anumrasia setelah kematian Sunkara di malam dingin itu. Kini mereka akan meulakan perjalanan semula apabila saturahsia tentang kematian ayah Shiris telah mengubah rentak perjalanan mereka. Kini Kota Pelabuhan Arkina menjadi destinasi seterusnya...

Dan aku masih terkedu merenung situasi baru itu. idea aku buntu untuk meneruskan perjalanannya.. dan aku hanya merenung sebuah cerita ilusi terbaru... sambil terus menggapai idea baru lak..lepas ni ...

Saturday, February 12, 2011

SI JAHAT HITARUK



INILAH WATAK JAHAT HITARUK- SALAH SATU DARI MAKHLUK2 IBLISUS YANG AKAN DIHADAPI OLEH ADAMUS KELAK!

SAAT INI, ADAMUS DAN SHIRIS SUDAH PUN MEMULAKAN PERJALANAN MEREKA DALAM PENCARIAN MUTIARA PENAWAR BISA SIHIR HEMLUKSIA. MERENTASI PERGUNUNGAN PULAU ARAUNA YANG PENUH LIKU DENGAN KEHADIRAN ANCAMAN DARI MAKHLUK KIRIMAN TOK NUJUMON UNTUK MENGHAPUSKAN ADAMUS SENTIASA MENGANCAM PERJALANAN MEREKA. MUJURLAH SEORANG WANITA BERMATA HIJAU BERPAKAIAN SERBA PUTIH MEMBANTU MEREKA DALAM PERJALANAN YANG BARU BERMULA ITU.- BAB 7

Sunday, February 6, 2011

ADAMUS 2- DITERUSKAN!

Sekarang ini penulis masih mencartakan semula map alam Fiara yang terbaru. ada beberapa penambahan watak dan nama-nama tempat dan idea baru muncul tanpa disedari. buat masa ini, penulisan juga diteruskan hingga babak Adamus merayau-rayau di dalam Desa rauna yang penuh salji tebal.... dan paling penting ialah munculnya Padawa Naldo di sebuah desa di pinggir laut... satu pertarungan antara Adamus yang tiada POWER dengan Padawa Naldo yang memiliki kekuatan Samushin Api dan Air!!!

Monday, January 31, 2011

KITAB KILIRA



TERKANDUNG PELBAGAI RAHSIA ALAM FIARA DI DALAMNYA...

HELAIAN TERAKHIR KITAB KILIRA

CATATAN DEWA MEUS
(Kitab Kilira)

TAHUN 2 Nirmala Fiara- Begitulah tahun yang digelar oleh penghuni alam Fiara yang unik dan indah ini. Aku kini sudah dua Nirmala Fiara di alam ini. Aku sendiri hairan bagaimana aku boleh berada di alam ini. Segalanya asing bagiku pada mulanya. Aku masih ingat lagi ketika aku tersesat masuk ke alam ini.
Ketika itu aku berkelah dengan anak dan isteriku di Taman Negara. Tanpa disedari, aku telah tersesat dalam hutan lipur yang besar itu. Pada mulanya aku seolah-olah melihat satu lapisan udara berubah dan membentuk satu ruang yang membulat di hadapanku. Ia muncul betul-betul di hadapanku. Dengan perasaan ingin tahu aku menyentuh lapisan udara yang termampat itu. Ruangnya cukup ganjil dan menarik. Aku dapat melihat satu alam lain menerusinya.
Aku melangkah tanpa ragu-ragu kerana sikap ingin tahu yang membuak-buak. Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke sebelah ruang ajaib itu, udara termampat itu hilang tiba-tiba. Seketika aku tergamam dengan keadaan itu. Namun, disebabkan kerana ingin tahu masih kuat dan menebal. Aku gagahkan juga diriku meneruskan langkah di alam yang ganjil dan mengagumkan ini.
Alam yang asing itu aku terokai. Ketika itu aku melihat hamparan gunung-ganang yang sayup-sayup kelihatan dari tempat aku berdiri. Rupa-rupanya aku berdiri di atas tebing yang tinggi. Di hadapanku ada sebuah jurang yang dalam dan kelihatan sayup-sayup ke bawah. Kabus nipis menghampari dasar jurang. Berpuluh-puluh jenis haiwan seperti burung, terbang di sekelilingku. Matahari di alam itu sama seperti matahari di alamku. Ada bulan yang sama seperti bulan di alam asalku, cuma bezanya ada dua bulan.
Aku berjalan penuh asyik memerhatikan panorama ganjil dan menarik di sekelilingku. Tiba-tiba aku bertemu dengan seorang tua berjubah putih dan berambut putih. Kami masing-masing tergamam pada mulanya. Tetapi mungkin kami telah ditakdirkan akan bertemu di tempat itu dan pada masa itu. Maka, aku cuba menyesuaikan diriku dengan kehadiran lelaki tua itu. Rupa-rupanya dia seorang pertapa yang mengasingkan diri daripada masyarakat desanya. Aku mengenalinya sebagai Pawang Ramin.
Pawang Ramin adalah seorang tua yang peramah dan memiliki ilmu pengetahuan yang luas tentang alamnya sendiri. Aku mendapat ilmu pengetahuan tentang alam Fiara adalah daripada orang tua itu. Aku menganggapnya sebagi guru. Oleh kerana tidak dapat kembali ke dunia asalku, maka aku terus menetap di pondok Pawang Ramin dan menjadi pembantunya dalam mengkaji banyak percubaan-percubaan beliau dalam mereka cipta sesuatu yang baru. Setiap hari aku akan dihidangkan dengan penemuan barunya. Digabungkan dengan pengetahuanku dari dunia asal, aku telah membina sebuah kediaman yang selesa buat kami berdua. Aku menggunakan pengalamanku bagi membantu Pawang Ramin dan dia pula mengajarku ilmu-ilmu sihir sebagai imbalan jasa-jasaku.
Setahun duduk di dalam hutan bersama Pawang Ramin, akhirnya aku mengambil keputusan mengembara dan menjelajah seluruh pelosok alam Fiara. Aku menuruni gunung dan menuju ke lembah yang luas dan mempunyai sungai-sungai yang menyegarkan.
Alam Fiara adalah alam yang mengalami empat musim sama di kawasan Eropah. Amat beruntung rasanya apabila berada di sini. Aku mula mengenali berbagai kaum yang masih mundur, jahil dan primitif. Kehidupan di sini masih dengan konsep yang kuat menindas yang lemah. Aku berhasrat mengubah penduduknya dan membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih berpengetahuan dan lebih teratur. Dengan menggunakan sumber-sumber sedia ada, aku berjaya mengubah kehidupan sebuah desa yang aku gelar Desa Rauna. Aku membina sebuah tugu yang begitu bermakna kepada masa depan alam Fiara ini, ‘Tugu Adamus’. Adamus bermakna: Anak Daku Anak Marzuki Untuk Semua (ADAMUS). Aku sendiri tidak pasti mengapa aku perlu namakan tugu itu sebegitu.
Tetapi, aku yakin ada sebabnya mengapa hal itu berlaku. Aku membuat banyak penemuan-penemuan yang amat mengujakan. Makhluk-makhluk mistik dan ganjil banyak aku temui dan kenali. Ada sebahagian daripada mereka menjadi kawan dan sebahagian lagi menjadi musuhku. Yang menjadi kawan, kebanyakan mereka adalah makhluk-makhluk yang hampir-hampir menyerupai manusia yang bertelinga runcing. Ada juga yang betul-betul seperti manusia. Selain itu, ahli-ahli sihir, jembalang, jin-jin, roh halus dan pelbagai makhluk yang unik turut sama menghuni alam yang begitu menenangkan hatiku ini. Aku mendapati alam Fiara banyak bergantung pada ahli-ahli sihir dalam memutuskan sesuatu ataupun melakukan rutin hidup mereka.
Aku mencatatkan kesemua penemuan-penemuan aku dalam Kitab Kilira ini. Aku harap ia menjadi panduan kepada sesiapa sahaja yang akan memiliki kitab ini. Aku berjaya menyiapkan kitab ini dalam masa dua tahun sebelum aku kembali ke alam asalku dengan bantuan seorang ahli sihir. Selain itu, aku juga telah menempah pedang unik yang kunamakannya sebagai Pedang Unikorn dan sebuah Bumerang Unikorn yang tajam menggunakan besi Agranium, iaitu besi paling keras di alam Fiara. Kedua-dua senjata itu, amat unik dan istimewa. Ia diisi kuasa magis yang hebat oleh Pawang Ramin. Pedang Unikorn itu aku letakkan di dalam sebuah gua yang dijaga oleh roh binatang Unikorn ganas dan Bumerang Unikorn itu diselitkan pada perisai istimewa Unikorn di sebuah perkampungan yang dihuni orang Zeusena yang bersayap helang.
Catatan ini aku nukilkan semasa saat-saat terakhir aku berada di alam Fiara ini. Ahli sihir (Pawang Ramin) inilah yang akan mewarisi dan menjaga kitab ini sampai bila-bila untuk keperluan mereka sepeninggalan aku kelak.
Alam Fiara telah menganggap aku ini adalah ‘Dewa’ yang turun untuk memberi mereka cahaya kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Dewa itu adalah gelaran yang terhormat dan tertinggi di alam Fiara. Lebih dihormati berbanding ahli sihir. Aku tinggalkan kitab Kilira ini sebagai panduan untuk sesiapa sahaja yang layak memegangnya dan menggunakannya untuk kebaikan.

Wednesday, January 26, 2011

PAHLAWAN ADAMUS : MS 329-331

“Bunuh dia!” tempik pengawal yang berbadan besar itu lagi.
Adamus mengelak lagi sebaik sahaja libasan pedang meluru pantas ke arahnya. Tanpa berlengah dia melancarkan penumbuknya. Pengawal yang menjadi mangsa penumbuknya itu terpelanting ke belakang dan terhempas ke tanah yang bergenang dengan air hujan.
Pasukan yang kekurangan seorang itu kembali menyerang serentak. Ketika itulah Adamus mengerah tenaga memanipulasikan elemen tanah. Tanpa amaran, sebongkah tanah muncul mendadak di antara dia dan pasukan pengawal kota itu. Barisan serangan pengawal kota lumpuh sebaik sahaja mereka melanggar bongkah tanah itu.
Adamus meluru ke pondok pengawal lalu menarik tuil yang digunakan untuk membuka pintu gerbang timur.
“Gimbaro!” jeritnya sambil menarik api pada pelita kecil di dalam pondok dengan memanipulasikan elemen api. Api itu membulat di atas tapak tangannya dan membesar sebelum membentuk bebola api sebesar kepalanya. Adamus pantas melemparkan bola api itu ke arah pengawal kota yang mula menyusun kekuatan dan serangan kembali.
“Cepat keluar sebelum pintu gerbang ditutup, Gimbaro!”
Gimbaro pantas menarik kuda Korn menuju gerbang yang terbuka luas kini. Adamus meloncat ke atas pelana kuda dan memecut sambil memaut tangan Gimbaro untuk turut menunggang bersama.


Hujan sudah berhenti tatkala mereka tiba di satu lembah yang suram. Di kaki langit kelihatan cahaya menyinar menandakan pagi akan muncul tidak lama lagi. Mereka menyusuri lorong di antara dua bukit berbatu dan hanya padang rumput yang kelihatan di situ. Beberapa batang pokok kecil juga tumbuh berselerak di kawasan itu.
Sedang asyik berjalan, Adamus tiba-tiba terasa sesuatu yang tidak kena. Dia meliarkan mata dan menghidu dengan deria keenamnya. ‘Nampaknya ada bahaya yang mengintai!’ detik hatinya. Perisai Unikorn dicapai dan dipasang kemas-kemas sambil menanti serangan musuh. Dia yakin, musuh sedang menanti masa yang sesuai.
“Serapi Nirsakti!”
Usai jerit itu satu garis cahaya meluncur kepada mereka. Adamus segera menepis serangan itu dengan perisai Unikorn. Cahaya itu cukup bisa dan perit serta membahang pada wajah Adamus. Dia menurunkan perisai dan meliarkan mata.
“Serapi Nirsakti!”
Sekali lagi cahaya itu menyerangnya. Adamus pantas mempertahankan diri dengan perisai. Cahaya itu membias ke tanah dan meninggalkan letupan yang agak kuat sehingga membongkar tanah dan merentungkannya. Adamus sedikit terkejut dan dadanya berdebar-debar. Gimbaro pula kembali cemas.
“Tu… tu… tuan....” Suara Gimbaro menguasai hening pagi yang mula dijamah cahaya suria itu.
“Siapa?” pekik Adamus sambil meliarkan pandangan ke serata kawasan itu.
“Ha! Ha! Ha!” Gelak ketawa itu bergema tiba-tiba. Adamus menumpukan pandangan ke satu arah di lereng bukit itu. Lebih kurang lima puluh meter di hadapan mereka muncul satu lembaga seperti asap hitam dan kelabu dari permukaan tanah dan akhirnya membentuk satu makhluk berjubah dan berambut putih lurus dan panjang ke belakang. Sebatang tongkat kecil tergenggam di tangan kanannya sambil dihalakan ke arah Adamus.
“Siapa kau?”
“Pai Ro!” jawab makhluk berjubah itu, sinis.

Monday, November 29, 2010

PAHLAWAN ADAMUS DIULANG-CETAK!


PTS sudah menerbitkan 20 judul novel fantasi. Namun sangat sedikit yang diulangcetak.
Novel 'Pahlawan Adamus' adalah salah sebuah yang diulangcetak. Feedback dari pembaca mengatakan mereka puas hati membaca novel tebal ini disebabkan daya imaginasi pengarangnya yang tinggi.
Dengan menganalisis novel-novel fantasi yang tersadai di dalam gudang PTS, didapati ciri-ciri novel fantasi yang tidak laku dalam pasaran adalah seperti di bawah:
(i) Nipis.
Ukuran 'nipis' adalah kurang daripada 350 halaman. Cerita yang baik, gaya bahasa yang indah, dan imaginasi yang tinggi sekalipun, apabila bukunya nipis, orang tidak teringin mengambilnya dari rak buku di dalam kedai buku.
Komplen yang popular diterima dari pembeli buku adalah 'tidak puas dibaca'.
(ii) Ceritanya tidak mempunyai kaitan dengan unsur-unsur sejarah alam Melayu ataupun Nusantara, yakni tidak mempunyai unsur historisiti.
(iii) Judul yang pelik.
Maksud judul yang 'pelik' adalah perkataan judul yang bukan perkataan Melayu, dan juga bukan perkataan yang ada dalam kamus mana-mana bahasa, yakni perkataan yang direka-reka sehingga pembaca tidak dapat mengagak apa maknanya. Dari sudut pandang teori interteks, judul itu tiada mempunyai unsur interteks sama sekali.
(iv) Judulnya perkataan Melayu yang 'pelik'.
Judulnya menggunakan perkataan Melayu tetapi perkataan itu tidak biasa digunakan dalam kehidupan sehari-harian, sehingga pembaca Melayu pun tidak tahu apa makna perkataan itu.
(v) Nama-nama watak yang 'pelik'.
Nama yang 'pelik' adalah nama-nama watak yang tidak dapat dikaitkan dengan perkataan Melayu, oleh itu tidak dapat diketahui maknanya ataupun kaumnya. Nama yang pelik itu direka-reka dengan tidak menggunakan teori makna, oleh itu pembaca tidak dapat menggambarkan ciri-ciri personaliti watak-watak itu.
(vi) Nama tempat yang 'pelik', yang tiada kaitan dengan perkataan Melayu dan alam Melayu-Nusantara.
Novel fantasi yang laku dalam pasaran adalah novel-novel yang kuat unsur-unsur interteks sejarahnya. Ini bermakna penulis fiksyen fantasi mestilah mempunyai pengetahuan yang luas tentang sejarah.

RUJUKAN : http://universitipts.com/index.php/site/comments/tip_survival_penulis_ciri-ciri_novel_fantasi_yang_tidak_laku_dalam_pas/

ULASAN PEMBACA

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Kulit Buku : Amat menarik!
jalan cerita : recam dan amat adventure! majis dan mengujakan!
Bahasa : mudah difahamai dan terdapat bahasa asing di dalam… imaginasi sungguh tinggi!
tahniah!
&mdash John Haris • 11 Nov 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
kulit buku “Pahlawan Adamus” sangat menarik perhatian . Cerita tidak memeningkan tapi nama watak, tempat, mantera sihir tu pening sikit. Bahasa terlalu baku. Cuba guna sedikit sinkof dalam dialog. Imiginasi pengarang sangat tinggi hingga mempengaruhi pembaca.
&mdash myrul • 17 Oct 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
Maaf kepada yang mendapat buku yang tidak ada muka surat(kosong).. sila dapatkan yang ada muka suratnya dan laporkan kepada pihak PTS tentang hal tersebut. Terima kasih buat semua yang mengikuti kisah Adamus di alam Fiara ini… sila lawati blog Adamus…
http://pahlawanadamus.blogspot.com/
terima kasih…
&mdash SK • 18 Aug 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
saya berasa seronok apabila membaca buku tersebut tapi keseronokan hilang apabila ada beberapa muka suratnya hilang itu shj yang saya ingin beritahu
&mdash nur adila bt amran • 18 Jul 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
penuh dgn pengembaraan
Ulasan kaver buku
menarik…
Ulasan bahasa
tidak menggunakan bahasa rojak memerap nilai murni…
&mdash nurul afifah • 08 Jun 2010

Ulasan isi kandungan/jalan cerita
tidak memeningkan boleh difahami. memang best
Ulasan kaver buku
menarih. orang selalu kate jangan menilai dari luaran, tapi kalau dah cantik, mesti tertarik
Ulasan bahasa
bersahaja. tpi klu berpuitis sikit memang lengkap
&mdash adibah • 12 May 2010


PENULIS S.K : Alhamdulillah... semoga pembaca terus terhibur... Insyallah Pahlawan Adamus part 2 dalam proses lagi... nantikan episod seterusnya!

Monday, November 15, 2010

ADAMUS 2- BAB 9

“Kau… Samushin air?” kata Adamus.
Tetapi lelaki botak itu tidak menjawab walaupun wajahnya bereaksi kehairanan.
“Dia tidak faham kata-kata kau, Adamus.” Ujar Shiris, masih tenang. Mungkin dia manganggap Samushin Air itu sama aliran dengannya dan tidak membahayakan mereka, getus hati Adamus.
Konha Sera?(Siapa kau?)” tutur Shiris. “Sera Samushin pir?(Kau Samushin Air?)”
Mata Hijau lelaki itu merenung Shiris dengan reaksi kehairan. “Konha Sera?(Siapa kau?)”
Sero Samushin pir, Shiris! (Aku Samushin Air, Shiris!)” Jawab Shiris sambil melangkah tenang dan menapak di permukaan air dengan tenang, menghampiri lelaki botak itu secara pelahan-lahan. “Aima jinris hair soras, naag lento! (Kami datang dengan aman, jangan takut!)”
Lelaki botak kerut kening. Tetapi menarik nafas lega. Mendadak hawa sejuk yang membara tadi sirna dan suasana kembali normal. Sejuk seperti tadi, Shiris melemparkan senyumannya.
Paraa nasra!(Terima kasih!)” kata Shiris sambil menghentikan langkah kira-kira sehasta dari batang tubuh lelaki botak itu.
Lelaki botak itu, dingin dan wajahnya masih menggambarkan kecurigaan. Tanpa berlengah Shiris mengeluarkan medallion yang diberi Tok Kiril dan menunjukkannya kepada lelaki itu. Mata hijau lelaki itu berubah, terkejut dengan apa yang dilihatnya.
“Kau adalah orang Kultus Persaudaraan Nekulus?” tuturnya lalu menyambung dengan kata-kata yang tidak difahami Adamus. “Sugsi Naare Hikras, Hikras Naare Sugsi!”“Nusuari!(Selamat Sejahtera!)” ucap Shiris, masih dengan senyumannya. Medalion itu disimpan semula dalam saku baju.
“Nusuari!” Jawab lelaki botak itu. “Emraaku Sero Padawa Naldo, miik Nekulus!(Nama aku Padawa Naldo, Puak Nekulus!)”
Pada masa yang sama, lelaki botak itu juga menunjukkan medallion yang serupa dari balik pakaiannya dan kemduian memasukkannya semula.
“Sero Shiris… Aiwo Adamus! (Aku Shiris… dia Adamus!)” Ujar Shiris sambil menyentuh dadanya dengan tapak kanan dan kemudian mengarahkan tangannya itu ke arah Adamus.
Adamus mengangguk dan senyum. “Nusuari!”
“Nusuari!” lelaki botak yang menamakan dirinya Padawa Naldo itu senyum dan mempamerkan giginya yang tersusun rapi. Sama seperti Usiari yang lain. Lelaki ini bertelinga runcing dan ada anting-anting kecil di telinga kanannya. “Sero padawa Naldo!”
“Sero, Adamus.” Kata Adamus sambil mengusap dadanya dengan tangan kanan, sama seperti apa yang Shiris lakukan sebentar tadi.
“Adamus?” Padawa Naldo, kembali kerut kening apabila mendengar nama itu. “Sera ek satrasis summa iit?(Kaukah pahlawan terakhir itu?)”
Maare niik sera…(Maafkan aku…)” tiba-tiba Shiris mencelah. “Sero Iadna Ukraku Uhab Adamus?(Kau mahir bertutur bahasa Adamus?)”
Padawa Naldo mengangguk dan wajahnya tiba-tiba menjadi lebih riang. “Iadna! Iadna!”“Kau Adamus?” katanya setelah diam sejurus. “Betulkah kau adalah pahlawan terakhir itu?”
Adamus tarik nafas. Mengaku dia Adamus adalah sukar baginya. Memandangkan keadaannya sekarang yang memang tidak serupa Adamus. Tanpa Pedang Unikorn dan peralatan lainnya, dia bukanlah Adamus, pahlawan terakhir itu. Dia adalah Faizal, orang dari dimensi Bumi. Ingin sahaja dijawab seperti itu. Tetapi lidahnya kelu. Tidak mahu menghampakan hati Shiris yang menaruh harapan yang amat tinggi itu.
“Ya, itulah yang orang Usiari lain katakan tentang aku.” Kata Adamus pelahan.
“Jadi betullah ramalan itu!” Padawa Naldo bersuara sedikit tinggi berbanding tadi. “Benarlah kata-kata pendeta!”