::: sinopsis :::

::: sinopsis :::
.

Monday, February 22, 2010

sedutan babak novel Pahlawan Adamus

Faizal melangkah keluar dari pintu dimensi Fiara ke pintu dimensi Bumi. Ketika itu, lembaga yang samar-samar dilihatnya menerusi pintu ajaib itu mulai jelas. Lembaga itu adalah orang dikenalinya. Orang yang tidak asing lagi baginya.
“Ayah!” jerit Faizal dengan gembira.
Dato’ Marzuki senyum riang dan mendepakan tangannya. Faizal segera meluru dan memeluk ayahnya itu. Mereka berpelukan buat beberapa ketika.
“Faizal….” Dato’ Marzuki bersuara sambil meleraikan pelukan mereka. “Zal tidak apa-apa?”
Faizal mengangguk. “Zal sihat, ayah. Zal tidak apa-apa.”
“Bagaimana dengan alam Fiara?”
“Semuanya baik-baik sahaja, ayah.” Faizal menjawab. “Eh, mana ayah tahu asal alam Fiara?”
Dato’ Marzuki tersenyum penuh makna sambil menggamitnya menuju ke kereta mereka. “Nanti ayah ceritakan dalam perjalanan ke rumah….”
Faizal mengangguk dan melangkah seiring dengan ayahnya. Kereta jenis pacuan empat roda Hilux sedang menunggu mereka di tepi jalan yang masih belum bertar. Kawasan itu lengang dan penuh kicau burung yang memukau pendengaran.
“Kita di mana ayah?”
“Taman Hutan Bukit Cahaya….”
“Hutan Bukit Cahaya?”
“Ya. Belakang ni Bukit Bandaraya. Rumah sepupu Zal tu… Saiful,” jawab ayahnya sambil melirik senyum. “Aii… baru dua hari hilang dari alam Bumi, sudah lupa tempat sendiri?”
“Sebulan ayah… sebulan,” jawab Faizal. Serta-merta kotak fikirannya membayangkan wajah Her-Una, Tok Kiril, Gimbaro, Korlan dan yang lain-lain lagi.
“Oh… sebulan di sana, dan dua hari hilang di sini. Memang tidak terasa perbezaan masa alam Fiara dan alam Bumi.”
“Ayah….” Tiba-tiba Faizal teringat sesuatu. “Bagaimana dengan motosikal Zal? Dan macam mana ayah tahu Zal masuk ke alam Fiara?”
“Ooo….” Mulut ayahnya melopong. Pandangan mata ayahnya merenung wajahnya sebelum menghidupkan enjin kereta dan memasukkan gear keluar dari kawasan itu ke jalan besar. “Tempat kemalangan Faizal tu ada tanda yang ditinggalkan.”
“Tanda? Tanda apa?”
“Serbuk merah….”
“Serbuk merah?”
“Ya… tanda itu menandakan pintu sihir Hamiseus dibuka menggunakan sihir tinggi,” jelas ayahnya.
“Sihir….”
“Sihir Pawang Ramin!.”
“Sihir pawang Ramin?” Faizal berkerut kening. “Siapa orang itu?”
“Dia orang tua kaum Usiari yang mula-mula ayah jumpa di alam Fiara. Dialah yang banyak membantu ayah dalam meneruskan hidup yang serba kekurangan dan asing bagi ayah. Orang tua itu banyak membantu ayah meneruskan hidup di alam Fiara. Ayah banyak belajar ilmu sihir dari orang tua itu. Dan ayah membukukannya dan ia digelar Kitab Kilira. Kemahiran membuat buku memang tidak ada di alam itu ketika ayah sampai. Tetapi setelah beberapa masa berlalu, ilmu membuat buku ayah sebarkan kepada orang tertentu sahaja. Ayah mengajar mereka pelbagai aspek dalam mencipta beberapa alat bagi menyokong kehidupan mereka.”
“Ayah yang menulis Kitab Kilira?”
“Ya… kitab itu ada banyak ramalan dan maklumat tentang alam tersebut. Zal sudah membaca kitab itu, kan?”
“Ya… Zal temui Kitab Kilira itu di perpustakaan. Tempat Zal bekerja.”
“Ya?” Ayahnya kerut kening. “Memang takdirnya, buku itu akan mencari keturunan ayah. Pahlawan terakhir, Adamus.”
“Ya, ayah. Mereka menggelar Zal sebagai Adamus. Mulanya Zal tidak dapat terima semua itu. Tetapi entah mengapa Zal berubah perlahan-lahan menjadi Adamus yang disanjung semua orang Usiari.”
“Hebat anak ayah!”
“Pedang Unikorn dan baju zirah serta bumerang Unikorn itu?”
“Itu ayah yang buat. Dan ayah, letakkan kuasa sihir Unikorn di dalamnya. Kemudian pisahkan alat-alat itu ke beberapa tempat bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan pihak yang salah. Alam Fiara penuh dengan makhluk-makhluk Usiari dan makhluk lain yang sukar diduga sifat dan sikapnya. Yang jelasnya, ada makhluk Usiari yang memiliki sikap jahat seperti anak pawang Ramin. Umon namanya.”
“Pawang Ramin ada anak?” Tersentak Faizal mendengar nama itu. “Umon… macam nama Tok Nujumon. Ada kaitan agaknya, ayah?”
“Tok Nujumon? Huh… mungkin juga. Ayah tidak sempat mengikut perjalanan hidup Umon sepenuhnya. Sebab ayah terpaksa kembali ke Bumi melalui portal yang Zal keluar tadi.”
Faizal teringat kata-kata yang pernah muncul di telinganya. “Adamus… kau adalah pahlawan akhir zaman yang ditakdirkan. Sebagai Adamus tidak akan ada sesiapa yang mampu memudaratkan kau. Sebagai Adamus juga, kau jangan bimbang dan takut. Hati mesti kuat dan cekal. Bertenanglah… kau akan sentiasa selamat di mana sahaja kau berada.”
Faizal mengangguk faham. “Jadi… Ayah adalah Dewa Meus?”
Dato’ Marzuki menoleh dan mengangguk bersama senyuman yang menggambarkan kebanggaan. “Dewa Meus…. Ya, nama itulah yang memulakan segalanya. Dewa Meus!”
Faizal mengalih pandangan ke luar. Di kiri kanan jalan penuh dengan hutan yang masih tebal dan menghijau. Dedaunan menari-nari seolah-olah mengiringi perjalanan pulangnya dengan lambaian yang penuh dengan misteri di sebaliknya. Sayup-sayup dari tengah-tengah kehijauan hutan kedengaran suara gemeresik berbisik bersama deruan angin menerjah gegendang telinga Faizal.
“Adamusss….”

No comments:

Post a Comment