::: sinopsis :::

::: sinopsis :::
.

Wednesday, January 26, 2011

PAHLAWAN ADAMUS : MS 329-331

“Bunuh dia!” tempik pengawal yang berbadan besar itu lagi.
Adamus mengelak lagi sebaik sahaja libasan pedang meluru pantas ke arahnya. Tanpa berlengah dia melancarkan penumbuknya. Pengawal yang menjadi mangsa penumbuknya itu terpelanting ke belakang dan terhempas ke tanah yang bergenang dengan air hujan.
Pasukan yang kekurangan seorang itu kembali menyerang serentak. Ketika itulah Adamus mengerah tenaga memanipulasikan elemen tanah. Tanpa amaran, sebongkah tanah muncul mendadak di antara dia dan pasukan pengawal kota itu. Barisan serangan pengawal kota lumpuh sebaik sahaja mereka melanggar bongkah tanah itu.
Adamus meluru ke pondok pengawal lalu menarik tuil yang digunakan untuk membuka pintu gerbang timur.
“Gimbaro!” jeritnya sambil menarik api pada pelita kecil di dalam pondok dengan memanipulasikan elemen api. Api itu membulat di atas tapak tangannya dan membesar sebelum membentuk bebola api sebesar kepalanya. Adamus pantas melemparkan bola api itu ke arah pengawal kota yang mula menyusun kekuatan dan serangan kembali.
“Cepat keluar sebelum pintu gerbang ditutup, Gimbaro!”
Gimbaro pantas menarik kuda Korn menuju gerbang yang terbuka luas kini. Adamus meloncat ke atas pelana kuda dan memecut sambil memaut tangan Gimbaro untuk turut menunggang bersama.


Hujan sudah berhenti tatkala mereka tiba di satu lembah yang suram. Di kaki langit kelihatan cahaya menyinar menandakan pagi akan muncul tidak lama lagi. Mereka menyusuri lorong di antara dua bukit berbatu dan hanya padang rumput yang kelihatan di situ. Beberapa batang pokok kecil juga tumbuh berselerak di kawasan itu.
Sedang asyik berjalan, Adamus tiba-tiba terasa sesuatu yang tidak kena. Dia meliarkan mata dan menghidu dengan deria keenamnya. ‘Nampaknya ada bahaya yang mengintai!’ detik hatinya. Perisai Unikorn dicapai dan dipasang kemas-kemas sambil menanti serangan musuh. Dia yakin, musuh sedang menanti masa yang sesuai.
“Serapi Nirsakti!”
Usai jerit itu satu garis cahaya meluncur kepada mereka. Adamus segera menepis serangan itu dengan perisai Unikorn. Cahaya itu cukup bisa dan perit serta membahang pada wajah Adamus. Dia menurunkan perisai dan meliarkan mata.
“Serapi Nirsakti!”
Sekali lagi cahaya itu menyerangnya. Adamus pantas mempertahankan diri dengan perisai. Cahaya itu membias ke tanah dan meninggalkan letupan yang agak kuat sehingga membongkar tanah dan merentungkannya. Adamus sedikit terkejut dan dadanya berdebar-debar. Gimbaro pula kembali cemas.
“Tu… tu… tuan....” Suara Gimbaro menguasai hening pagi yang mula dijamah cahaya suria itu.
“Siapa?” pekik Adamus sambil meliarkan pandangan ke serata kawasan itu.
“Ha! Ha! Ha!” Gelak ketawa itu bergema tiba-tiba. Adamus menumpukan pandangan ke satu arah di lereng bukit itu. Lebih kurang lima puluh meter di hadapan mereka muncul satu lembaga seperti asap hitam dan kelabu dari permukaan tanah dan akhirnya membentuk satu makhluk berjubah dan berambut putih lurus dan panjang ke belakang. Sebatang tongkat kecil tergenggam di tangan kanannya sambil dihalakan ke arah Adamus.
“Siapa kau?”
“Pai Ro!” jawab makhluk berjubah itu, sinis.

No comments:

Post a Comment